
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang akan terus menerima sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) biarpun bergerak secara profesional.
- Dr Mohammed Taufiq Johari ucap syabas, jamin sokongan dari segi kesihatan, latihan dan aspek lain.
- Datuk Azizul memenangi emas Keirin Piala Dunia UCI 2026 di Perth.
- Beliau turut merangkul pingat gangsa acara pecut lelaki.
- KBS lancar DEK 2026 dan MEAP 2026 dengan peruntukan RM1 juta dan RM500,000 bagi pembangunan e-sukan.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya akan sentiasa berhubung dengan pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu bagi memastikan segala bantuan dan bentuk fasiliti dapat diberikan.
“Untuk Azizul saya ucap syabas dan tahniah buat aksi yang cukup hebat dan memberangsangkan dan membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Dan kita akan sentiasa berikan sepenuh sokongan kepada beliau dari sudut kesihatan, sudut latihan dan segala aspek untuk kita pastikan bahawa sukan ini terus maju untuk masa akan datang,” katanya.
Datuk Azizul sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul pingat emas Keirin pada Piala Dunia Berbasikal Trek Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2026 di Perth, Australia, baru-baru ini.
Beliau turut menyambar pingat gangsa acara pecut lelaki.
Terdahulu, Dr Mohammed Taufiq melancarkan Dana Esukan KBS (DEK) 2026 dan Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP) 2026 di Puchong, hari ini.
Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq berkata, KBS memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta bagi DEK 2026 dan RM500,000 untuk program MEAP 2026.
DEK 2026 bertujuan menyokong pelbagai projek dalam kategori kejohanan e-sukan dan pembangunan kandungan digital manakala MEAP 2026 pula bagi menyokong serta mempersiapkan pasukan dan pemain tempatan terpilih bersaing di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI), Ahmed Faris Amir berkata, pihaknya komited menterjemahkan aspirasi DEK dan MEAP kepada pelaksanaan tersusun menerusi kerjasama strategik bersama pemain industri, penerbit permainan dan pihak swasta.