
SEVILLE, Sepanyol, 6 Februari – Ademola Lookman mencuri tumpuan pada penampilan sulungnya bersama Atletico Madrid apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan gol dalam kemenangan besar 5-0 ke atas Real Betis, sekali gus memastikan tempat ke separuh akhir Copa del Rey, awal pagi Khamis.
- Ademola Lookman menyerlah pada penampilan sulung bersama Atletico dengan satu gol dan satu bantuan, membantu kemenangan 5-0 ke atas Real Betis.
- Gol lain dijaringkan oleh David Hancko, Giuliano Simeone, Antoine Griezmann dan Thiago Almada.
- Atletico memastikan tempat ke separuh akhir Copa del Rey; undian separuh akhir Jumaat ini melibatkan Barcelona, Athletic Bilbao dan Real Sociedad.
- Perlawanan dicemari kecederaan hamstring pemain tengah Barrios yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua.
Pemain antarabangsa Nigeria berusia 25 tahun itu, yang baru menyertai Atletico daripada kelab Serie A, Atalanta, awal minggu ini, mempamerkan aksi meyakinkan ketika pasukan kendalian Diego Simeone berpesta gol di Stadium La Cartuja, Seville.
Gol Atletico dijaringkan oleh David Hancko, Giuliano Simeone, Antoine Griezmann, Thiago Almada dan Lookman, sekali gus menghadiahkan kekalahan memalukan kepada Betis kendalian Manuel Pellegrini di hadapan penyokong sendiri.
“Kami banyak bergerak tanpa bola, memberi pilihan kepada rakan sepasukan.
“Permainan lebih lancar, berada di posisi yang tepat dan berdisiplin dari segi taktikal. Akhirnya peluang dan permainan yang kami mahukan terhasil,” kata Griezmann kepada Movistar Plus.
“Kami adalah satu pasukan, satu bilik persalinan, satu kelab dan penyokong yang mudah mesra.
“Sesiapa sahaja yang menyertai kami akan disambut baik sejak saat pertama, dan itu jelas dapat dilihat dengan kehadiran Lookman. Mari kita nikmati kehadirannya dan harap dia membawa kegembiraan,” tambahnya.
Atletico bermula garang dan membuka jaringan pada minit ke-12 apabila sepakan sudut Koke disudahkan dengan tandukan padu oleh Hancko yang menewaskan penjaga gol Betis, Adrian.
Lookman hampir menggandakan kelebihan pada separuh masa pertama, namun percubaannya satu lawan satu pada minit ke-16 tersasar, sebelum rembatannya lapan minit kemudian melepasi palang gol.
Gol kedua hadir pada minit ke-30 menerusi gerakan kemas satu sentuhan di sebelah kiri. Matteo Ruggeri menemukan Alex Baena, yang bertukar hantaran dengan Lookman sebelum melakukan hantaran rendah untuk disudahkan Giuliano Simeone, anak kepada pengurus Diego Simeone.
Lookman, Pemain Bola Sepak Terbaik Afrika 2024, akhirnya mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-37 selepas melepasi dua pertahanan sebelum menyudahkan bola ke penjuru kiri gawang.
Pada separuh masa kedua, Atletico mengendurkan tempo namun tetap menambah jaringan.
Lookman melakukan larian pantas di tengah untuk menarik kawalan pertahanan sebelum melakukan hantaran kepada Griezmann yang melepaskan rembatan lencong ke penjuru kanan atas gol pada minit ke-62.
Pemain gantian, Thiago Almada melengkapkan kemenangan besar Atletico pada minit ke-83 apabila menyambar bola muntah hasil percubaan Baena untuk menewaskan Adrian.
Kemenangan Atletico sedikit dicemari dengan kecederaan pemain tengah, Barrios, yang dipercayai mengalami kecederaan hamstring pada awal separuh masa kedua dan terpaksa dikeluarkan.
Cabutan undian separuh akhir Copa del Rey akan berlangsung Jumaat ini dengan Atletico Madrid, Barcelona, Athletic Bilbao dan Real Sociedad mara ke kelompok empat terbaik.
Perlawanan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik pada 10 hingga 12 Februari serta 3 hingga 5 Mac. – REUTERS