
A CORUÑA, 14 Januari – Gol sepakan percuma daripada Antoine Griezmann memastikan Atletico Madrid melangkah ke suku akhir Copa del Rey selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan divisyen kedua, Deportivo La Coruña, pada Selasa.
- Antoine Griezmann menjaringkan sepakan percuma pada minit ke-61 untuk kemenangan 1-0 Atletico ke suku akhir Copa del Rey.
- Gol itu memecah kebuntuan perlawanan pertama antara kedua pasukan sejak hampir lapan tahun.
- Atletico menguasai perlawanan; Griezmann hampir menjaringkan gol pada akhir babak pertama terkena palang.
- Keputusan lain: Athletic Bilbao menang 4-3 selepas masa tambahan, Real Sociedad mara lewat penalti 4-3.
Penyerang veteran Perancis itu meledak gol kemenangan pada minit ke-61 menerusi percubaan lencong yang tepat ke penjuru kanan, sekali gus memecah kebuntuan dalam pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak hampir lapan tahun.
Pada perlawanan berkenaan, Atletico dilihat mendominasi perlawanan dan Griezmann hampir membuka jaringan pada penghujung babak pertama namun, rembatannya terkena palang.
Bersambung babak kedua, Griezmann mempamerkan sentuhan magisnya apabila menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti untuk memastikan kemenangan menjadi milik Atlerico Madrid.
“Dia masih memiliki magis yang mendorongnya terus berjuang dan membantu pasukan, seperti mana gol yang dijaringkannya hari ini,” kata Simeone selepas perlawanan.
Dalam aksi lain, Athletic Bilbao bangkit menewaskan Cultural Leonesa 4-3 selepas masa tambahan meskipun bermain dengan 10 orang selepas Aitor Paredes dilayangkan kad merah pada minit ke-56.
Real Sociedad mara selepas mengatasi Osasuna 4-3 menerusi penentuan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Real Madrid di bawah kendalian jurulatih baharu, Alvaro Arbeloa akan bertandang ke Albacete, manakala juara bertahan Barcelona bakal menentang pendahulu divisyen kedua Racing Santander pada Khamis. – AFP