City perlu menang menentang Galatasaray

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola akui pasukannya perlu menewaskan Galatasaray di laman sendiri, awal pagi esok./REUTERS

MANCHESTER, 28 Januari – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, meminta pemainnya supaya fokus untuk aksi terakhir peringkat Liga Juara Eropah menentang kelab Turkiye, Galatasaray yang dijadual berlangsung awal pagi esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guardiola mahu pemain fokus pada perlawanan terakhir menentang Galatasaray di laman sendiri.
  • City perlu menang dan bergantung pada keputusan perlawanan lain untuk mengelakkan playoff.
  • Perbezaan gol dijangka memainkan peranan penting dalam penentuan kelayakan.

Dalam masa sama beliau tidak mahu pemain terganggu andai terlalu memikirkan untuk mengejar kelompok lapan terbaik Liga Juara Eropah.

Berdasarkan format kejohanan, lapan pasukan teratas dalam carta liga akan mara secara automatik ke pusingan 16 terakhir, manakala pasukan yang berada di kedudukan kesembilan hingga ke-24 akan beraksi dalam pusingan playoff bagi menentukan baki pasukan yang layak.

Ketika ini City berada di kedudukan ke-11 terutama selepas kekalahan mengejut 1-3 menentang Bodo/Glimt dari Norway minggu lalu.

Menurut Guardiola, City perlu menewaskan Galatasaray di laman sendiri serta mengharapkan keputusan perlawanan lain memihak kepada mereka bagi mengelakkan saingan playoff, dengan perbezaan gol dijangka memainkan peranan penting.

“Kita akan melihat keputusan dalam 10 minit terakhir dan kemudian barulah kita lihat apa yang perlu dilakukan dari segi perbezaan gol. Kami perlu menumpukan sepenuhnya kepada perlawanan kami, itu kuncinya. Kami akan cuba untuk menang esok.

“Galatasaray kini mendahului liga Turkiye dan semua pemain mereka adalah luar biasa. Kualiti yang mereka miliki… kami perlu mengerah usaha yang luar biasa bersama sokongan penyokong kami,” katanya.

City yang juga juara Liga Juara Eropah pada 2023, merupakan salah satu daripada lapan pasukan yang mengumpul 13 mata selepas tujuh perlawanan, dengan jurang hanya tiga mata memisahkan tempat ketiga hingga ke-15 dalam kedudukan semasa liga. – REUTERS

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan