
LONDON, 22 Februari – Pemain pertahanan Chelsea, Wesley Fofana dan pemain tengah Burnley, Hannibal Mejbri menyatakan mereka telah dihina secara perkauman di media sosial selepas keputusan seri 1-1 pada Liga aksi Perdana Inggeris di Stamford Bridge pada Sabtu.
- Chelsea dan Burnley mengutuk penghinaan perkauman terhadap Wesley Fofana dan Hannibal Mejbri di media sosial.
- Kedua-dua pemain berkongsi tangkapan skrin mesej perkauman untuk mendedahkan kejadian tersebut.
- Kelab akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan platform untuk mengenal pasti pelaku dan ambil tindakan.
Fofana, yang dibuang padang pada minit ke-72 selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari James Ward-Prowse, berkongsi tangkapan skrin mesej yang diterimanya di Instagram selepas perlawanan.
“2026, ia masih sama, tiada apa yang berubah.
“Orang-orang ini tidak pernah dihukum. Anda mencipta kempen besar menentang perkauman, tetapi tiada siapa yang benar-benar bertidak,” tulis pemain Perancis itu di Instagram.
Chelsea mengutuk penghinaan itu di laman web rasmi mereka.
“Tingkah laku sedemikian tidak boleh diterima sama sekali dan bertentangan dengan nilai-nilai kesukanan dan semua yang kami perjuangkan sebagai sebuah kelab.
“Tiada ruang untuk perkauman,” menurut Chelsea dalam satu kenyataan.
Menurut The Blues, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan platform yang berkaitan dalam mengenal pasti pelaku dan mengambil tindakan secepat mungkin.
Mejbri, yang dikasari pada perlawanan itu turut menyiarkan mesej yang diterimanya di media sosial.
“Didik diri sendiri dan anak-anak anda,” tulis pemain Tunisia itu dalam hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Burnley dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tiada ruang untuk perkauman di kelab berkenaan.
“Tiada tempat untuk perkauman dalam masyarakat kita dan kami mengutuknya tanpa syarat.
“Kami kekal tegas dengan pendirian. Kami mempunyai pendekatan sifar toleransi terhadap sebarang bentuk diskriminasi,” menurut kelab itu di laman web mereka.
Keputusan seri itu meletakkan Chelsea di tempat keempat berdasarkan perbezaan gol di hadapan Manchester United yang akan menentang Everton pada Isnin dan boleh merampas semula kedudukan itu jika menang. – REUTERS