Cerundolo akhiri kekecewaan, rangkul gelaran sulung Terbuka Argentina

Pemain tenis Argentina, Francisco Cerundolo/ REUTERS

BUENOS AIRES, 16 Februari – Pemain tenis Argentina, Francisco Cerundolo menamatkan penantian panjang untuk menjulang kejuaraan di laman sendiri apabila menewaskan pemain Itali, Luciano Darderi, 6-4, 6-2 dalam aksi final Terbuka Argentina, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cerundolo akhiri kekecewaan lalu dengan menjuarai Terbuka Argentina untuk kali pertama di tanah airnya.
  • Beliau menjuarai kejohanan tanpa kehilangan set, menunjukkan prestasi mantap sepanjang acara.
  • Menjadi pemain Argentina ketujuh yang menang di kejohanan ini sejak penganjurannya pada 2001.

Pilihan utama kejohanan itu hanya memerlukan 97 minit untuk menundukkan pilihan kedua Darderi dalam kejohanan gelanggang tanah liat bertaraf ATP 250, sekali gus meraih gelaran keempat dalam kariernya dan yang pertama di bumi Argentina.

Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini tewas di final edisi 2021 dan 2023, namun kali ini tampil lebih meyakinkan apabila menjuarai kejohanan tanpa kehilangan sebarang set.

Cerundolo yang kini menghuni ranking ke-19 dunia turut menyelamatkan enam daripada tujuh mata ‘breakpoint’, termasuk lima dalam set pertama, bagi memastikan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Kejayaan tersebut menjadikannya pemain ketujuh dari tuan rumah yang menjuarai kejohanan berkenaan sejak diperkenalkan pada 2001. -REUTERS