
MANCHESTER, 14 Januari – Manchester United pada Selasa mengumumkan pelantikan Michael Carrick sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim, dengan fokus utama mengembalikan pasukan itu ke saingan Liga Juara Eropah selepas tiga musim tersisih daripada pentas elit Eropah.
- Carrick dilantik pengurus sementara Manchester United sehingga akhir musim.
- Fokus utama adalah membawa United ke saingan Liga Juara Eropah musim depan.
- United kini di tangga ketujuh, tiga mata di belakang tempat keempat.
- Pelantikan selepas pemecatan Ruben Amorim, Carrick dipercayai berpengalaman dan boleh diharapkan.
Carrick, 44, yang pernah memenangi 12 trofi utama sepanjang 12 tahun bergelar pemain United, menyifatkan tanggungjawab baharunya sebagai satu penghormatan besar.
“Memimpin Manchester United adalah satu penghormatan. Saya tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di sini.
“Fokus saya kini ialah membantu pemain mencapai standard yang kami jangka di kelab luar biasa ini, kerana kami tahu pasukan ini mampu melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Carrick bakal menghadapi ujian getir dalam penampilan sulungnya apabila United berdepan musuh setempat, Manchester City, dalam aksi Liga Perdana pada Ahad ini.
United kini berada di tangga ketujuh liga, tiga mata di belakang Liverpool yang menghuni tempat keempat, dan hanya satu mata di belakang Brentford di tempat kelima.
Kedudukan empat teratas akan menjamin tiket ke Liga Juara Eropah, manakala tempat lima juga berkemungkinan memadai susulan prestasi baik kelab-kelab Inggeris dalam kejohanan Eropah musim ini.

Pelantikan Carrick dibuat selepas kelab itu memecat Ruben Amorim minggu lalu, menamatkan tempoh 14 bulan yang mengecewakan buat jurulatih Portugal tersebut di Old Trafford.
Harapan untuk melihat kebangkitan segera tidak kesampaian apabila Darren Fletcher, yang bertindak sebagai pengurus sementara sejurus pemecatan Amorim, hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 menentang Burnley dalam Liga Perdana dan tewas 2-1 kepada Brighton dalam saingan Piala FA.
Tersingkir awal daripada kedua-dua pertandingan piala domestik dan ketiadaan komitmen Eropah menjadikan United akan bermain hanya 40 perlawanan musim ini iaitu jumlah terendah sejak musim 1914/1915.
Menurut sumber kelab, pengalaman Carrick di United sebagai pemain dan jurulatih meyakinkan pengurusan bahawa beliau merupakan individu yang boleh diharapkan untuk mengendalikan pasukan dalam tempoh mencabar ini.
Carrick memulakan karier sebagai pemain di West Ham dan Tottenham sebelum berhijrah ke Manchester United.
Sepanjang bermain bersama ‘Red Devils. Carrick berjaya menjulang lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan satu gelaran Liga Juara Eropah.
Beliau bersara pada 2018 sebelum menyertai barisan kejurulatihan United sebagai pembantu kepada Jose Mourinho dan kemudian Ole Gunnar Solskjaer.
Carrick pernah menggalas tugas sebagai pengurus sementara selama tiga perlawanan pada 2021, dengan rekod tanpa kalah termasuk kemenangan ke atas Chelsea, Arsenal dan Villarreal. – AFP