Borneo 7s 2026: 16 pasukan dari lapan negara sah bertanding

Presiden Eagles Rugby Club, Velayuthan Tan (tengah) menunjukkan piala Kejohanan Ragbi Borneo 7s selepas sidang media di Eagles Nest, Eagles Rugby Club./BERNAMA

SANDAKAN, 27 Mac – Sebanyak 16 pasukan ragbi elit dari lapan buah negara bakal berkumpul di Sandakan bagi memburu kejuaraan antarabangsa Borneo 7s 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 April depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertandingan kategori lelaki dan wanita menampilkan wakil dari Asia dan Eropah, termasuk negara seperti Malaysia, Australia, Belgium dan Filipina.
  • Presiden ERC Velayuthan Tan kata kehadiran pasukan antarabangsa menaikkan prestij dan beri peluang pengalaman tinggi kepada atlet tempatan.
  • Pasukan tumpuan lelaki: Nationwide Nadi 7s, Borneo Eagles, Fizzapapa’s Rugby 7s; wanita: Borneo Flyers, Eagles Select dan BAC Singapore.

Kejohanan anjuran Eagles Rugby Club (ERC) itu akan menyaksikan pertembungan kategori lelaki dan wanita membabitkan wakil dari Malaysia, Australia, Belgium, Filipina, Singapura, Indonesia, Kazakhstan dan Uzbekistan.

Presiden ERC, Velayuthan Tan, berkata kehadiran pasukan dari pelbagai benua termasuk Eropah dan Asia itu bukan sahaja melonjakkan prestij kejohanan, malah memberi peluang kepada atlet tempatan bersaing di peringkat tertinggi.

“Ini adalah pentas terbaik untuk bakat muda kita menimba pengalaman dengan pasukan antarabangsa, sekali gus meletakkan Sandakan sebagai hab ragbi serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kategori lelaki, tumpuan terarah kepada gergasi Australia, Nationwide Nadi 7s, yang akan dicabar oleh Borneo Eagles, Malaysia 7s, serta wakil Belgium, Fizzapapa’s Rugby 7s.

Sementara itu, kategori wanita bakal menyaksikan saingan sengit antara Borneo Flyers, Eagles Select (Filipina), dan BAC Singapore.