
KUALA LUMPUR, 17 Februari – Pemain boling padang negara, Idham Amin mengesahkan slot ke separuh akhir perseorangan lelaki, Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 selepas mencatat kemenangan tipis ke atas wakil Hong Kong, Nixon Man, 6-5, 8-7 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.
- Idham Amin mara ke separuh akhir perseorangan lelaki selepas menewaskan Nixon Man dari Hong Kong dengan keputusan ketat.
- Beliau mengekalkan fokus pada corak permainan dan kawalan emosi untuk memastikan kemenangan dalam dua set berturut-turut.
- Idham akan berdepan rakan sepasukan Izzat Shammer di separuh akhir, menekankan keperluan penyesuaian teknikal dan kekuatan mental.
Idham mengakui perlawanan tersebut berlangsung sengit, khususnya pada set pertama apabila beliau berdepan tekanan daripada lawan yang bermain konsisten.
Menurutnya, tumpuan diberikan kepada mengekalkan corak permainan serta mengawal emosi bagi memastikan kemenangan dapat diraih dalam dua set berturut-turut.
“Tadi masa perlawanan, saya agak gementar kerana set pertama memang mencabar. Pada set kedua, saya cuba kekalkan permainan seperti set pertama dan Alhamdulillah berjaya menang serta layak ke separuh akhir,” katanya.
Pada aksi separuh akhir esok, Idham bakal bertemu rakan sepasukan, Izzat Shammer dalam pertembungan sesama wakil negara.
Idham menyifatkan perlawanan itu sebagai cabaran besar memandangkan Izzat lebih berpengalaman dalam acara perseorangan dan kerap menyertai kejohanan antarabangsa.
“Saya perlu cepatkan penyesuaian permainan terutama pada balingan awal untuk rasa ‘weight’ padang. Dari segi mental pula, saya perlu lebih kuat kerana sudah lama tidak bermain acara perseorangan. Izzat lebih berpengalaman dan ini adalah kelebihan dia,” katanya.
Tambah Idham, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek mental dan taktikal bagi memberikan saingan terbaik dalam usaha memburu tempat ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.
Pada satu lagi aksi suku akhir hari ini, Izzat Shammer mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil India, Dinesh Kumar dengan keputusan 7-4, 3-7, 1-0.