
KUALA NERUS, 5 Februari – Legenda bola sepak Terengganu Zulharisam Awang meninggal dunia di kediamannya di Kampung Wakaf Baharu di sini petang tadi.
- Allahyarham dikejarkan ke HoSZA petang tadi selepas alami penurunan paras oksigen.
- Dibenarkan pulang atas nasihat doktor sebelum meninggal dunia akibat penyakit dalaman.
- Meninggalkan seorang balu dan tiga anak.
- Berkhidmat 17 tahun di Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA; bekas pemain pertahanan Terengganu.
Menurut kenyataan Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), bekas kapten pasukan Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 51 tahun, kira-kira 6.20 petang akibat penyakit dalaman.
Kenyataan itu memaklumkan Allahyarham yang berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Am (Pembantu Operasi) Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA dikejarkan ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) sekitar 1 petang tadi disebabkan penurunan paras oksigen.
“Allahyarham dibenarkan pulang petang tadi atas nasihat doktor. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
“Bulan Januari lepas genaplah 17 tahun perkhidmatan beliau dengan Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA,” menurut kenyataan itu.
Zulharisam yang bermain di posisi pertahanan pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 setelah menewaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.- BERNAMA