
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Faktor kecederaan beberapa pemain utama perseorangan lelaki negara menjadi antara punca kepada prestasi tidak menentu di beberapa kejohanan antarabangsa.
- Kecederaan pemain utama seperti Lee Zii Jia, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao ganggu persiapan dan konsistensi prestasi skuad.
- Bukan masalah bakat; masalah utama ialah pemulihan pemain untuk memastikan prestasi stabil di kejohanan besar.
- Pembangunan pemain muda perlu perancangan jangka panjang, pendedahan dan pembentukan asas sebelum bersaing di peringkat dunia.
Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann menyifatkan kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama seperti Lee Zii Jia, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao menjadi punca utama yang mengganggu persiapan selain menjejaskan prestasi.
Beliau turut menegaskan prestasi tidak menentu itu bukan berpunca daripada kekurangan bakat atau pelapis dalam skuad berkenaan.
“Untuk skuad malaysia mereka ditimpa dengan kecederaan itu yang menjadikan persembahan atau persiapan untuk kejohanan itu kurang stabil saya rasa itu masalah sahaja bukan ianya menampakan skuad malaysia itu kekurangan pemain perseorangan yang bagus ” katanya yang ditemui media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MSN dan Institut Sukan Hong Kong, di Bukit Jalil.
Beliau yang kini menjawat jawatan ketua jurulatih badminton Hong Kong menegaskan, fokus utama kini adalah memastikan pemain pulih sepenuhnya sebelum beraksi di kejohanan besar akan datang seperti Sukan Asia dan Olimpik.
“Kalau tidak saya rasa mereka sudah memberikan persembahan yang cukup memberangsangkan dan memberikan kepercayaan kepada peminat dengan kewibawaan mereka, mereka itu cukup bagus untuk menentang dengan sesiapa sahaja jadi harus pulih itu yang penting untuk menyiapkan mereka untuk kejohanan yang akan datang” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan pemain muda memerlukan perancangan jangka panjang dalam usaha memantapkan skuad kebangsaan.
Tambahnya, barisan pemain muda memerlukan masa, pendedahan pengalaman selain pembentukan asas permainan sebelum mampu bersaing di peringkat dunia.