Atletico Madrid benam Tottenham 5-2 di Madrid

Pemain Atletico Madrid, Julian Alvarez berjaya menjaringkan dua gol sewaktu membantu pasukannya meraih kemenangan 5-2 menewaskan Tottenham Hotspur./AFP


MADRID, 11 Mac – Atletico Madrid mempamerkan aksi serangan luar biasa pada babak pertama untuk menewaskan Tottenham Hotspur 5-2 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atletico menguasai awal permainan dengan tiga gol dalam sembilan minit, menekan Tottenham dan memulakan perlawanan dengan dominasi serangan.
  • Marcos Llorente, Antoine Griezmann dan Julian Alvarez meledak gol awal yang meletakkan Atletico di hadapan.
  • Antonin Kinsky tergelincir dan digantikan oleh Guglielmo Vicario selepas kesilapan awal penjaga gol Spurs.
  • Atletico membawa kelebihan tiga gol ke London, berada di landasan kukuh untuk mara ke suku akhir.

Keputusan tersebut sekali gus meletakkan kelab Liga Perdana Inggeris itu dalam situasi sukar menjelang aksi timbal balik di London.

Terdahulu, skuad kendalian Diego Simeone hanya memerlukan kira-kira 15 minit di Metropolitano Stadium untuk menguasai permainan apabila menjaringkan tiga gol dalam tempoh sembilan minit ketika Tottenham gagal mengawal keadaan.

Marcos Llorente membuka jaringan seawal minit keenam selepas penjaga gol Tottenham, Antonin Kinsky, tergelincir ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan sendiri.

Tekanan terus dirasai Spurs apabila Antoine Griezmann menggandakan kelebihan pada minit ke-14 sebelum Julian Alvarez menjaringkan gol ketiga pada minit ke-15.

Itu juga antara jaringan terpantas yang menyaksikan sebuah pasukan mendahului tiga gol dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara.

Kinsky, yang hanya membuat penampilan ketiga musim ini dan kali pertama sejak Oktober, berdepan situasi sukar apabila dikeluarkan pada minit ke-17 oleh jurulatih Igor Tudor selepas gol ketiga Atletico.

Penggantinya, Guglielmo Vicario, turut tidak sempat menyesuaikan diri apabila Atletico menambah jaringan keempat menerusi tandukan Robin Le Normand selepas bola muntah hasil sepakan percuma Griezmann.

Tottenham cuba bangkit apabila Pedro Porro menjaringkan gol pada minit ke-26, namun harapan mereka hampir musnah selepas separuh masa pertama apabila Griezmann melorongkan bola dari kawasan sendiri kepada Alvarez yang kemudian berlari melepasi pertahanan sebelum menjaringkan gol kelima Atletico.

Sementara itu, satu lagi gol Spurs hadir menerusi Dominic Solanke yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Atletico, Jan Oblak, untuk menambah gol kedua Tottenham.

Atletico akan berkunjung ke London minggu depan dengan kelebihan tiga gol dan berada di landasan kukuh untuk mara ke suku akhir selepas memanfaatkan setiap kesilapan Tottenham dalam perlawanan tersebut. – REUTERS