
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Atlet luncur alpine negara, Aruwin Salehhuddin, berdepan cabaran getir apabila gagal menamatkan kedua-dua larian dalam acara giant slalom wanita pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, pada Ahad.
- Aruwin gagal menamatkan kedua-dua larian dalam acara giant slalom wanita di Milano Cortina 2026.
- Atlet 21 tahun itu pernah juga gagal menghabiskan slalom pada penampilan Olimpik pertama di Beijing 2022.
- Aruwin ialah atlet wanita Malaysia pertama di Sukan Olimpik Musim Sejuk dan satu-satunya wakil negara di Milano Cortina.
Saingan yang berlangsung di Tofane itu menyaksikan wakil tuan rumah, Federica Brignone, muncul juara selepas mencatat masa keseluruhan dua minit 13.50 saat (s). Beliau mendahului larian pertama sebelum menamatkan larian kedua di tempat ke-14 untuk memastikan pingat emas menjadi miliknya.
Pingat perak pula menjadi milik bersama Sara Hector dari Sweden dan atlet Norway, Thea Stjernesund, selepas kedua-duanya mencatat masa keseluruhan 2:14.12s.
Terdahulu, pada penampilan sulung di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, Aruwin menamatkan saingan di tempat ke-38 dalam acara sama, namun turut gagal menghabiskan perlumbaan slalom.
Atlet berusia 21 tahun itu yang juga atlet wanita pertama Malaysia beraksi di temasya Olimpik Musim Sejuk dan satu-satunya wakil negara di Milano Cortina, dijadual turun beraksi dalam acara slalom, Rabu ini.