
LEVERKUSEN, 11 Mac – Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran kepada semua pemainnya bahawa mereka akan berdepan perlawanan sangat sukar menentang kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen, dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok.
- Arteta kekal berhati-hati walaupun Arsenal menunjukkan prestasi mengagumkan.
- Arteta tekankan perlunya kejelasan taktikal dan prestasi terbaik pada hari perlawanan untuk mengatasi lawan.
- Kai Havertz pinta pasukan fokus satu perlawanan pada satu masa dan sedar sukar menewaskan Leverkusen di laman mereka.
Walaupun Arsenal menunjukkan prestasi mengagumkan dalam Liga Juara-Juara dan berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris, Arteta tetap berhati-hati dengan cabaran pasukan lawan.
“Ia bola sepak dan anda perlu tunjukkan kemampuan esok.
“Anda mesti jelas tentang apa yang diperlukan dalam permainan ini dan perlu memberikan prestasi terbaik… aksi Liga Juara-Juara adalah mengenai satu hari dan dalam hari itu terdapat detik tertentu, dan anda perlu lebih baik daripada lawan,” katanya.
Sementara itu, penyerang Arsenal, Kai Havertz berpendapat perlawanan tersebut wajar dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pemain The Gunners.
“Saya rasa pada masa ini kami melihat perlawanan satu demi satu, dan bagi kami, perlawanan paling penting adalah esok.
“Saya sedar betapa sukarnya menewaskan Leverkusen, terutamanya di laman mereka sendiri,” katanya. – REUTERS