
KUALA LUMPUR, 19 Januari -Kontinjen para Malaysia menegaskan fokus dan disiplin sebagai teras utama dalam misi memburu 55 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 yang membuka tirai secara rasmi esok.
- Fokus dan disiplin jadi teras utama untuk capai sasaran 55 pingat emas pada APG Thailand 2025.
- Keutamaan diberi kepada prestasi konsisten menerusi perancangan latihan yang teliti.
- Renang dan olahraga dijangka sumbang dua pertiga pingat, dengan badminton, berbasikal dan powerlifting pelengkap.
- APG 2025 dijadikan penanda aras persiapan menuju sasaran juara apabila tuan rumah APG 2027.
Sasaran itu ditetapkan sebagai langkah progresif selepas kejayaan mengutip 50 pingat emas pada edisi 2023 di Kemboja
Ia sekali gus mencerminkan pendekatan realistik tetapi mencabar bagi mengekalkan status Malaysia sebagai antara kuasa para sukan serantau.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2025, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata, keutamaan pasukan adalah memastikan atlet menampilkan prestasi konsisten selaras dengan perancangan latihan yang telah dirangka.
Malaysia terus memperkukuh sukan teras seperti renang dan olahraga yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama pingat.
Tidak ketinggalan, mengharapkan sumbangan daripada badminton, berbasikal dan powerlifting sebagai pelengkap kepada sasaran keseluruhan.
“Olahraga para menjadi sandaran utama kerana kita mempunyai 64 atlet dengan sokongan 21 pegawai, menjadikannya penyertaan terbesar dalam kontinjen negara.
Secara keseluruhan, kita jangkakan dua pertiga pingat datang daripada olahraga dan renang, manakala satu pertiga lagi daripada sukan lain seperti tenpin boling dan berbasikal,” katanya.
Beberapa atlet utama negara dijangka menjadi sandaran penting, termasuk pemenang tiga pingat Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru dan rejam lembing F20.
Selain, juara emas Paralimpik Rio 2016 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara pecut T38.
Arena powerlifting turut menjadi tumpuan menerusi Bonnie Bunyau Gustin dan Bryan Junency Gustin, manakala jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, akan menggalas cabaran dalam acara perseorangan dan beregu lelaki SU5.
Menurut Mohd Zarrawi, APG 2025 bukan sekadar medan memburu pingat, sebaliknya platform penting menguji ketahanan mental dan tahap kesiapsiagaan atlet negara menjelang kejohanan lebih besar.
“Saya cabar atlet, termasuk yang pertama kali beraksi, untuk pulang dengan pingat kerana kejayaan itu akan menjadi motivasi besar.
Apabila kita menjadi tuan rumah APG 2027, sasaran kita jelas iaitu muncul juara,” katanya.
Prestasi kontinjen di Nakhon Ratchasima bakal menjadi penanda aras awal persiapan Malaysia menjelang penganjuran APG 2027, dengan penekanan terhadap keberkesanan latihan, strategi dan pembangunan atlet pelapis.
Pada edisi 2023, Malaysia menamatkan kempen di tangga keempat keseluruhan selepas meraih 50 emas, 38 perak dan 35 gangsa, pencapaian yang kini menjadi penanda aras.
Malaysia menyertai 18 jenis sukan pada APG 2025 dengan keseluruhan 259 pingat dipertandingkan.