APG 2025: Malaysia tambah koleksi 4 pingat emas

Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais / Nurul Suhada Zainal (Jurupandu) meraih pingat emas dalam acara para berbasikal trek 4000 meter kejar mengejar individu wanita B/foto FB Majlis Sukan Negara Malaysia

NAKHON RATCHASIMA, 25 Januari – Kontinjen Malaysia meneruskan momentum cemerlang hari ini apabila menambah empat lagi pingat emas pagi tadi dalam Sukan Para ASEAN (APG) 2025 yang berlangsung di Thailand.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan berbasikal trek raih emas dalam acara 4000m Kejar Mengejar Individu Wanita B.
  • Abd Halim Mohd mengekalkan prestasi, menang dua emas dalam renang para.
  • Noor Askuzimey dan Mohamad Hanafi menang emas dalam acara Boccia Beregu Campuran BC4.
  • Wong Kar Gee juarai Lompat Jauh Lelaki T12 untuk satu lagi emas negara.

Kejayaan itu dimulakan menerusi acara Para Berbasikal Trek, apabila gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nurul Suhada Zainal (Jurupandu) menampilkan kayuhan bertenaga untuk menjuarai disiplin 4000 meter Kejar Mengejar Individu Wanita B, sekali gus menghadiahkan emas kepada kem negara.

Dalam arena Para Renang, atlet negara Abd Halim Mohd, sekali lagi menjadi sandaran apabila mempamerkan prestasi konsisten dengan merangkul dua pingat emas. Beliau terlebih dahulu menjuarai acara 50 meter kuak dada lelaki (SB8) sebelum mengesahkan satu lagi emas dalam acara 100 meter gaya bebas lelaki (S8).

Sementara itu, saingan Boccia turut menyaksikan Malaysia menambah koleksi emas menerusi acara Beregu Campuran (BC4). Gandingan Noor Askuzimey Mat Salim dan Mohamad Hanafi Mohd Rosli berjaya mengatasi cabaran lawan untuk muncul juara dalam perlawanan akhir.

Satu lagi pingat emas negara disumbangkan menerusi acara Para Olahraga, apabila Wong Kar Gee menampilkan lompatan terbaik untuk menjuarai acara Lompat Jauh Lelaki (T12), sekali gus melengkapkan pencapaian cemerlang kontinjen Malaysia pada hari ini.