
KUALA LUMPUR, 5 Mac– Malaysia sudah mengesahkan satu slot suku akhir apabila bakal menyaksikan dua beregu lelaki negara dijadualkan membuat perhitungan sesama sendiri pada pusingan kedua kejohanan All England 2026, hari ini.
- Malaysia sahkan satu slot suku akhir menerusi pertembungan dua beregu lelaki negara di pusingan kedua All England 2026.
- Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Wan Arif-Wap Roy King mara selepas kemenangan straight games, bakal bertemu rakan senegara.
- Pearlly Tan-M Thinaah mara ke pusingan kedua manakala beberapa pasangan lain mengalami nasib berbeza.
Dalam aksi di Utilita Arena Birmingham pada Rabu, gandingan kedua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mudah mengetepikan Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat, 21-17, 21-17 manakala Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menewaskan wakil Denmark, Daniel Lungaard-Mads Vestergaard, 21-19, 18-21, 21-18.
Rekod pertemuan kedua-dua pasangan negara itu berpihak kepada Aaron-Wooi Yik dan ia merupakan pertarungan kali ketiga mereka selepas Terbuka Thailand dan Kejohanan Dunia tahun lepas.
Turut mara pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berjaya menyingkirkan Kakeru Kugamai-Hiroki Nishi dari Jepun, 21-10, 21-15.
Beregu kelapan dunia itu dijadualkan melakukan perhitungan dengan Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat dari Indonesia yang menundukkan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-10, 21-16.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diletakkan selaku pilihan keenam, turut bermula dengan baik apabila mudah menewaskan Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen 21-17, 21-16 untuk melangkah ke pusingan kedua berdepan satu lagi wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin.
Sementara itu, seperti dijangkakan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Jepun, Arisa Igarashi-Chiharu Shida 21-19, 21-13 dalam masa 46 minit.
Pasangan kedua dunia itu dijadualkan bertemu pasangan Korea Selatan, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo yang dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan wakil Amerika Syarikat, Lauren Lam-Allison Lee Quiynh, 21-19, 15-21, 21-17.
Nasib berbeza buat satu lagi beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang tersingkir selepas tunduk kepada pilihan kelima dari Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 17-21, 8-21.
Turut terkandas, beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tewas kepada wakil China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 21-17, 12-21, 9-21. -BERNAMA