Akademi fokus bakat muda, Meng Yean buru lahirkan pelapis badminton negara

Bekas pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean kini fokus melatih bakat baharu/RTM

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Akademi Future Champs Badminton yang ditubuhkan bekas pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda berusia 7 hingga 12 tahun sebagai usaha melahirkan pelapis badminton negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menekankan pembangunan pemain dari peringkat akar umbi sebelum diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
  • Bermula dengan lebih 50 pelajar, mensasarkan 100 hingga 200 pemain dalam tempoh terdekat.
  • Berkerjasama dengan jurulatih berpengalaman seperti Zhang Hong Yu dan Chan Hong Yu untuk bimbingan teknikal dan taktikal.
  • Meng Yean, Olympian Tokyo 2020, mahu terus menyumbang dan melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, akademi itu menekankan pembangunan pemain dari peringkat akar umbi sebelum diketengahkan ke peringkat negeri dan seterusnya ke pentas kebangsaan.

Jelasnya, program berkenaan bermula dengan lebih 50 pelajar dan menyasarkan 100 sehingga 200 pemain dalam tempoh terdekat.

“Kita mahu bangunkan pemain muda dari peringkat asas sebelum disalurkan ke peringkat lebih tinggi hingga ke tahap kebangsaan,” katanya keika ditemui pemberita

Meng Yean turut mendedahkan beliau mendapat kerjasama daripada bekas jurulatih skuad pelapis kebangsaan iaitu Zhang Hong Yu yang bertindak sebagai rakan kongsi akademi berkenaan.

Ujarnya, sentuhan dan pengalaman jurulatih berasal dari China itu ditagih bagi melahirkan pemain pelapis yang bakal bergelar juara dunia

Beliau turut bekerjasama dengan jurulatih berpengalaman, Chan Hong Yu yang pernah berkhidmat lama bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Meng Yean yang juga Olympian Tokyo 2020 menjelaskan penubuhan akademi itu merupakan impiannya untuk terus menyumbang kepada sukan badminton negara selepas bersara sebagai pemain.

Tambah beliau, pengalaman sebagai pemain kebangsaan sedikit sebanyak dapat membantu melahirkan lebih ramai pemain yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.