
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Legenda futsal negara, Addie Azwan Zainal, dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan, menggantikan Rakphol Sainetngam, menurut pengumuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
- Addie Azwan dilantik ketua jurulatih futsal kebangsaan menggantikan Rakphol Sainetngam.
- FAM anggap beliau calon sesuai, kenal pemain dan faham falsafah permainan sedia ada.
- Sasaran utama: bimbing Malaysia ke kejayaan pada Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta.
Addie Azwan, 45, sebelum ini berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih skuad futsal Harimau Malaya sejak Ogos 2023 di bawah kendalian Rakphol.
FAM menyifatkan beliau sebagai calon paling sesuai untuk menerajui pasukan menjelang Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia dari 27 Jan hingga 7 Feb depan.
“Beliau cukup mengenali barisan pemain sedia ada dan memahami falsafah permainan yang telah diterapkan sebelum ini,” menurut kenyataan FAM.
Sepanjang kerjayanya sebagai pemain kebangsaan dari 2002 hingga 2010, Addie Azwan masih memegang rekod sebagai pemain dengan penampilan terbanyak (caps) dan penjaring terbanyak dalam sejarah skuad futsal Harimau Malaya.
Beliau memiliki pengalaman hampir 15 tahun dalam bidang kejurulatihan, bermula sebagai penolong ketua jurulatih di bawah Maizal Hairi Marzuki (2011–2013) dan Marcelo Serpa (2013–2016), serta pernah mengetuai skuad futsal wanita kebangsaan pada 2018.
Sebagai tugasan pertamanya selaku ketua jurulatih, Addie Azwan akan memimpin Malaysia dalam saingan Kumpulan D Piala Asia Futsal 2026, menentang Iran (28 Jan), Afghanistan (30 Jan) dan Arab Saudi (1 Feb). Dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke suku akhir pada 3 Feb, diikuti separuh akhir (5 Feb) dan final (7 Feb).
Dengan pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih, Addie Azwan dijangka membawa kepimpinan mantap bagi mencapai sasaran Malaysia dalam kejohanan futsal utama peringkat Asia itu.