
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Semangat juang serta komitmen yang ditampilkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yok sehingga ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2026 membuktikan kelas sebenar pasangan itu sebagai atlet bertaraf dunia.
- Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tunjuk semangat juang dan komitmen hingga ke final Terbuka Malaysia 2026.
- Keputusan naib juara dianggap langkah ke arah kejayaan lebih besar, bukan titik akhir.
- Penampilan final tamatkan kemarau 12 tahun beregu lelaki Malaysia ke final Terbuka Malaysia.
- Kekalahan 15-21, 21-15, 18-21 kepada Korea dilihat sebagai petanda Malaysia kembali bersaing di tahap tertinggi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata keputusan naib juara yang diraih beregu nombor dunia itu bukan satu noktah penamat tetapi sebahagian daripada perjalanan mereka menuju kejayaan yang lebih besar.
“Terima kasih Aaron Chia & Soh Wooi Yik atas perjuangan luar biasa di Petronas Terbuka Malaysia 2026. Pencapaian mara ke final ini juga menamatkan kemarau 12 tahun wakil beregu negara menjejak kaki ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia.
“Terus bangkit, terus melangkah…seluruh rakyat Malaysia sentiasa di belakang kalian berdua,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam hantaran di Facebook juga turut senada.

Beliau berkata kekalahan pasangan negara hari ini, bukanlah satu kegagalan sebaliknya tanda Malaysia kembali bersaing di tahap tertinggi.
“Tetapi kita mencipta satu detik yang lama kita tunggu, penampilan final pertama beregu lelaki sejak 2014. Lebih sedekad menunggu.Lebih sedekad membina semula.
“Di pentas final, tekanan datang bertubi-tubi. Setiap mata diuji. Setiap kesilapan ada harganya. Pasangan kita bertahan, melawan dan tidak mudah menyerah,” jelas beliau.
Perlawanan akhir acara beregu lelaki Terbuka Malaysia 2026 menyaksikan Aaron-Wooi Yik tumpas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Sung Jae 15-21, 21-15, 18-21 dalam tempoh 66 minit.