
PETALING JAYA, 29 Januari – Sebanyak 19 kejohanan bakal mewarnai kalendar Jelajah Professional Golf Malaysia (PGM) 2026, sekali gus memperkukuh landskap golf profesional tempatan sepanjang musim ini.
- PGM 2026 menampilkan 19 kejohanan — 10 lelaki dan 9 wanita untuk kekalkan pemain tempatan aktif dan kompetitif.
- Kejohanan wanita utama Oktober di The Mines, hadiah RM200,000, terbuka kepada profesional dan amatur tempatan.
- Jelajah domestik tersusun buka laluan ke kejohanan Asia melalui kerjasama MGA dan Asian Tour.
Musim 2026 akan menampilkan 10 kejohanan lelaki dan sembilan kejohanan wanita, dengan tumpuan utama memastikan pemain tempatan kekal aktif, kompetitif dan bersedia bersaing di peringkat lebih tinggi.
Pengurus Besar PGM, Nik Mustapha Nik Mohamed berkata penganjuran jelajah domestik yang konsisten penting bagi memberi peluang kepada pemain profesional beraksi secara kompetitif di laman sendiri.
“Kita mahu pemain-pemain profesional negara mendapat lebih banyak peluang bertanding di dalam negara supaya prestasi dan ketahanan mereka dapat dipertingkat, sebelum melangkah ke kejohanan lebih besar seperti Asian Development Tour,” kata beliau selepas merasmikan pelancaran kalendar Jelajah PGM Tour 2026, di sini hari ini.
Pelancaran kalendar berkenaan dibuat susulan tamat kelayakan PGM di Kelab Golf Seri Selangor dari 27 hingga 29 Januari, melibatkan 59 pemain yang bersaing merebut kad Jelajah PGM serta tiga slot ke kejohanan PKNS Selangor Masters (ADT).
Bagi kategori wanita, satu kejohanan utama dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026 di The Mines Resort & Golf Club, menawarkan wang hadiah keseluruhan RM200,000 dan terbuka kepada pemain profesional serta amatur tempatan.
Antara venue utama yang bakal menjadi gelanggang PGM Tour 2026 termasuk Kelab Golf Seri Selangor, KGPA, Saujana Golf & Country Club, Bukit Jawi Golf Resort, Royal Pekan Golf Club dan Royal Pahang Golf Club.
PGM turut menegaskan jelajah domestik yang tersusun bukan sahaja penting untuk pembangunan jangka panjang pemain, malah membuka laluan ke kejohanan peringkat Asia menerusi kerjasama strategik bersama Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Asian Tour.
Musim 2026 juga menandakan tahun ke-16 penganjuran PGM Tour, dengan misi berterusan melahirkan lebih ramai pemain golf tempatan yang berkualiti dan berdaya saing di pentas antarabangsa.