Polis Melaka ingatkan parti politik dapatkan kebenaran guna dron

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

BUKIT BERUANG, 22 Oktober -Polis mengingatkan semua parti politik supaya tidak menerbangkan dron tanpa kebenaran pihak berkuasa sepanjang tempoh berkempen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan dron memerlukan permit atau Kebenaran Untuk Terbang (AFT) daripada agensi berkaitan termasuk CAAM.
  • Polis Melaka belum menerima permohonan permit menerbangkan dron atau penggunaan peralatan komunikasi daripada parti politik.
  • Semua parti dan calon diingatkan elak isu agama, kaum, institusi diraja, sebarkan fitnah atau tindakan mengganggu ketenteraman awam semasa berkempen.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penggunaan dron memerlukan permit atau Kebenaran Untuk Terbang (AFT) daripada pihak berkuasa berkaitan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, setakat ini, polis Melaka belum menerima sebarang permohonan daripada parti politik untuk mendapatkan permit menerbangkan dron atau menggunakan peralatan komunikasi lain yang memerlukan kebenaran pihak berkuasa.

“Parti-parti politik tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan dron kerana penggunaannya memerlukan kebenaran daripada agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau aktiviti tersebut.

“Malah, pihak polis sendiri perlu mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum menggunakan dron,” katanya kepada media selepas Taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka oleh PDRM di IPK Melaka.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua parti politik dan calon yang bertanding supaya mengelakkan daripada memainkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), menyebarkan fitnah serta melakukan tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen yang bermula pada 31 Oktober.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.