
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) di Kelantan merekodkan pendapatan RM376,451 dengan kehadiran 7,208 pelancong bagi tempoh Januari
hingga Ogos 2026.
- Kerjasama MOTAC dengan KUSKOP dan SKM galakkan pengusaha inap desa sertai koperasi untuk tingkatkan daya saing dan akses sokongan.
- Kolaborasi dengan Kementerian Pertanian perkenalkan program agro, kembangkan agropelancongan untuk tambah pendapatan pengusaha inap desa dan akses bantuan.
- Tumpuan kepada pembangunan kapasiti, penambahbaikan kemudahan dan promosi ekopelancongan, budaya, warisan, makanan tempatan serta seni kraf untuk perluaskan pasaran.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, usaha memperkasa pelancongan berasaskan komuniti turut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi meningkatkan daya saing serta pendapatan pengusaha homestay.
Tambah beliau, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menggalakkan pengusaha homestay menyertai koperasi, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan sokongan dan bantuan yang disediakan.
“Memang, MOTAC sentiasa bekerjasama dengan kementerian seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha inap desa (homestay) tentang kepentingan menyertai koperasi.
“Penyertaan ini dapat meningkatkan daya saing mereka, di samping membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai bentuk sokongan yang disediakan oleh koperasi.
Selain itu, kami turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memberikan pendedahan kepada pengusaha homestay mengenai program agro. Melalui inisiatif ini, pengusaha homestay berpeluang meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti agropelancongan, selain melayakkan mereka mendapatkan bantuan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, mengenai keberkesanan inisiatif dalam memperkasa pelancongan berasaskan komuniti di kawasan luar bandar.
Jelas beliau setakat Ogos 2026, Kelantan mempunyai lapan kluster PPHM dengan 141 pengusaha berdaftar serta tujuh Pemandu Pelancong Hos Komuniti Setempat (HKS) berlesen.
MOTAC turut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti pengusaha, penambahbaikan kemudahan homestay dan promosi produk ekopelancongan, budaya, warisan, makanan tempatan serta seni kraf bagi meluaskan pasaran domestik dan antarabangsa.