
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Digital Nasional Bhd (DNB) dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini memeterai kerjasama strategik bagi menyediakan ketersambungan 5G dalam bangunan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQC) Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) di Johor Bahru.
- Perbincangan dengan pihak Singapura bagi perayauan untuk memastikan pengalaman ketersambungan lancar bagi penumpang rentas sempadan.
- DNB menyediakan ketersambungan 5G dalam bangunan berbanding Wi-Fi; pengguna perlu melanggan pakej daripada penyedia telekomunikasi masing-masing.
- Kerjasama membuka liputan 5G dalam Kompleks ICQC RTS Link menyokong tiket digital, navigasi, komunikasi dan transaksi mudah alih.
- MRT Corp akan mengkomersialkan infrastruktur dengan menyewakan ruang dan prasarana telekomunikasi kepada pengendali rangkaian untuk pendapatan bukan tambang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DNB Datuk Azman Ismail berkata kerja-kerja persediaan merangkumi perbincangan dengan pihak berkaitan di Singapura mengenai beberapa urusan termasuk perayauan bagi memastikan pengalaman ketersambungan yang lancar kepada penumpang yang melakukan perjalanan antara kedua-dua negara.
“Kami perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan di Singapura bagi memastikan penumpang menikmati pengalaman ketersambungan yang lancar ketika menaiki tren dari Johor Bahru ke Singapura dan sebaliknya,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) sempena Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di sini hari ini.
Pertukaran MoU itu dilakukan antara Azman dan CEO MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, dengan disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Sementara itu, Azman berkata inisiatif berkenaan melibatkan penyediaan ketersambungan 5G berbanding Wi-Fi, dengan penumpang boleh mengakses perkhidmatan tersebut menerusi pakej yang ditawarkan oleh penyedia telekomunikasi masing-masing.
“Kami akan menyediakan ketersambungan dan DNB ialah syarikat yang membekalkan perkhidmatan kepada syarikat telekomunikasi. Oleh itu, pengguna perlu melanggan perkhidmatan daripada syarikat telekomunikasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata urusan dengan pihak berkaitan di Singapura turut menjadi sebahagian daripada persediaan bagi menyokong ketersambungan merentasi sempadan.
Sementara itu, kenyataan MRT Corp yang dikeluarkan sempena majlis berkenaan memaklumkan kerjasama tersebut akan membuka laluan kepada penyediaan liputan 5G dalam bangunan di seluruh Kompleks ICQC RTS Link bagi menyokong perkhidmatan tiket digital, navigasi, komunikasi dan transaksi mudah alih.
Menerusi anak syarikatnya, Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS), MRT Corp bertanggungjawab membangunkan dan memiliki infrastruktur Malaysia bagi RTS Link termasuk telekomunikasi dalam bangunan di ICQC Bukit Chagar.
MRT Corp berhasrat mengkomersialkan kemudahan itu menerusi penyewaan infrastruktur dan ruang telekomunikasi kepada pengendali rangkaian mudah alih sebagai sebahagian daripada strategi menjana pendapatan bukan tambang yang mampan.
Kerjasama itu turut mewujudkan rangka kerja bagi pelaksanaan ketersambungan dalam bangunan pada masa hadapan di lokasi tumpuan ramai, dengan memanfaatkan infrastruktur 5G DNB di seluruh negara serta kerjasama dengan pemegang sahamnya yang terdiri daripada pengendali rangkaian mudah alih.- BERNAMA