
ALOR SETAR, 20 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 10,920 liter diesel bernilai RM52,197.60 yang disyaki cuba diseleweng selepas sebuah lori tangki ditahan di Jalan Sematang Pinang, Kuala Kedah, semalam.
- Lori tangki ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 kerana membawa barang kawalan tanpa lesen, kemudian diserahkan kepada KPDN Kedah.
- Pemeriksaan mendapati diesel disertai invois meragukan dan diperoleh daripada pemborong tanpa lesen sah untuk urus niaga barang kawalan.
- KPDN menyita diesel dan lori; nilai keseluruhan sitaan RM102,197. Seorang lelaki ditahan dan direman tiga hari.
- Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan hukuman denda besar atau penjara; KPDN beri amaran dan galak orang ramai buat aduan.
Lori tangki itu ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 kerana disyaki membawa barang kawalan untuk urus niaga tanpa lesen sah sebelum diserahkan kepada KPDN Kedah.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa diesel bersama invois yang meragukan.
“Siasatan lanjut mendapati diesel itu diperoleh daripada pemborong yang tidak mempunyai lesen sah untuk menjalankan urus niaga barang kawalan.
“Selain diesel, sebuah lori tangki turut disita bagi membantu siasatan, menjadikan nilai keseluruhan sitaan RM102,197,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan dan direman selama tiga hari bermula hari ini.
Muhammad Nizam berkata KPDN akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan barang kawalan, khususnya barang kawalan bersubsidi.
“KPDN mengalu-alukan maklumat dan aduan daripada orang ramai berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan. Pemeriksaan dan operasi akan terus dipergiat menerusi inisiatif Kita Gempur,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Bagi kesalahan pertama, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, individu boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pertubuhan atau perbadanan pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.