Belanjawan 2027: Ukur impak, rapatkan jurang pendidikan – Pakar

Profesor Madya Dr. Siti Hafsyah Idris/ RTM

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Keberkesanan peruntukan pendidikan dalam Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan hasil pelaksanaan dan manfaat sebenar kepada pelajar, bukan sekadar jumlah peruntukan yang diumumkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pastikan ketelusan data dan akauntabiliti bagi memantau pelaksanaan projek pendidikan dan mengukur hasil sebenar.
  • Laksanakan penilaian berfokus hasil, bukan semata bentuk dokumen, untuk memastikan pelaksanaan mencapai matlamat pendidikan.
  • Perlu peluasan akses teknologi termasuk AI dan pendidikan STEM disertai pembangunan infrastruktur seimbang untuk peluang pembelajaran setara.
  • Baiki sekolah daif dan kampus usang, menepati keperluan komuniti berpendapatan rendah dan merapatkan jurang bandar luar bandar.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr. Siti Hafsyah Idris berkata ketelusan data dan akauntabiliti penting bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dipantau serta mencapai matlamat ditetapkan.

“Penilaian bukan berdasarkan ketebalan dokumen tersebut, tetapi kepada hasilnya. Kita perlu mempunyai data yang telus dan akauntabiliti supaya setiap pergerakan, proses serta prosedur pelaksanaan sesuatu projek dapat dipantau,” katanya kepada RTM di Angkasapuri, Kota Media di sini hari ini.

Beliau berkata, peluasan akses kepada teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), perlu disertai pembangunan infrastruktur yang seimbang bagi memastikan pelajar di bandar dan luar bandar mendapat peluang pembelajaran setara.

Katanya, penambahbaikan sekolah daif dan kampus usang juga perlu diberi perhatian, khususnya bagi memenuhi keperluan komuniti berpendapatan rendah dan kawasan yang kurang mendapat kemudahan.

“Pembangunan dan infrastruktur untuk komuniti sasaran di luar bandar juga perlu diseimbangkan.

“Jadi, usaha itu dapat merapatkan jurang yang besar antara kawasan bandar dengan luar bandar, serta golongan berpendapatan tinggi dan rendah, tanpa mengabaikan hak komuniti sasaran untuk mendapat kemudahan asas pendidikan,” katanya.

Belanjawan 2027 memperuntukkan hampir RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membiayai pelbagai keperluan sektor pendidikan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.