
KLANG, 5 Oktober -Pendidikan bukan sekadar berorientasikan pencapaian akademik, sebaliknya berperanan membentuk insan yang yakin, kreatif, berkemahiran serta berupaya menyumbang kepada masyarakat.
- MBDK komited menyokong pendidikan dan pembangunan modal insan melalui kerjasama strategik dengan Pejabat Pendidikan Daerah Klang.
- MBDK memberi perhatian kepada pembangunan komuniti, kesejahteraan sosial, pendidikan, kemahiran dan penglibatan masyarakat.
- Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti penting untuk memastikan impak inisiatif pendidikan.
- PRISMA ’25 mengiktiraf pencapaian murid termasuk Pemulihan Khas, Khatam al-Quran, NILAM Lima Bintang, kecemerlangan SPM dan STPM.
Datuk Bandar Klang Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, Majlis Bandaraya Diraja Klang, (MBDK) komited menyokong usaha memperkukuh pendidikan dan pembangunan modal insan menerusi kerjasama strategik bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.
Sebagai pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Diraja Klang sentiasa komited untuk menyokong usaha-usaha yang memberikan manfaat kepada komuniti. MBDK bukan sahaja berperanan dalam memastikan perkhidmatan perbandaran yang cekap dan berkualiti.
“Malah turut memberi perhatian kepada aspek pembangunan komuniti, kesejahteraan sosial, pendidikan, kemahiran dan penglibatan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor, K-SEMANIS ’26 dan Majlis Apresiasi Pengiktirafan Prestasi, Inspirasi dan Kecemerlangan Akademik Daerah Klang, PRISMA ’25, di sini.
Katanya, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti penting bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan memberi impak kepada masyarakat.
Dalam pada itu, PRISMA ’25 menjadi platform mengiktiraf pencapaian murid dalam pelbagai bidang, termasuk Pemulihan Khas, Khatam al-Quran, NILAM Lima Bintang, kecemerlangan SPM dan STPM serta pencapaian Murid Berkeperluan Pendidikan Khas, MBPK.
Majlis turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh semangat warga pendidikan serta membuka ruang kepada inovasi dan kerjasama bagi memacu kecemerlangan pendidikan di daerah Klang.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Pendidikan Daerah Klang Azmuddin Muhamad.