
BERLIN, 30 September – Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata Rusia tidak berhasrat mengadakan rundingan serius bagi menamatkan perang di Ukraine, susulan pertemuan menteri luar kedua-dua negara di New York, Sabtu lalu.
- Maklum balas Moscow menunjukkan tidak berminat berunding buat masa ini, kata pihak Jerman.
- Wadephul gesa Rusia hentikan tindakan berbahaya yang boleh tingkatkan ketegangan dengan Jerman, Eropah dan NATO.
- Lavrov menuduh Eropah menghalang usaha kedamaian dan menegaskan Rusia akan capai matlamat operasi ketenteraannya.
- Pistorius menyifatkan ucapan Lavrov memperlekeh usaha rundingan dan menegaskan pendirian Moscow tidak berubah.
Menurut Merz, maklum balas Moscow terhadap pertemuan Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, membuktikan Rusia langsung tidak berminat untuk berunding buat masa ini.
Pertemuan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu merupakan yang pertama antara menteri luar kedua-dua negara sejak 2022.
Dalam pertemuan tersebut, Wadephul menggesa Rusia menghentikan tindakan berbahaya yang boleh meningkatkan ketegangan dengan Jerman, Eropah, dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selain menegaskan sokongan berterusan Berlin kepada Ukraine.
Namun, Lavrov dalam ucapannya di PBB menuduh Eropah menghalang usaha kedamaian dan menegaskan Rusia tetap akan mencapai matlamat operasi ketenteraannya.
Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, menyifatkan tindak balas Lavrov memperlekehkan usaha rundingan dan menunjukkan pendirian Moscow langsung tidak berubah.
Merz sekali lagi menggesa Rusia untuk kembali ke meja rundingan.
“Jika Rusia tidak bersedia, kami sedia menyokong Ukraine bagi tempoh yang lama. Rusia tidak akan menang, ekonomi mereka makin gawat, dan akan menanggung kerugian besar jika perang berterusan, katanya di sini.
Kenyataan itu dibuat semasa lawatan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev, ke Berlin.
Walaupun Kazakhstan merupakan sekutu Rusia, mereka tidak pernah menyokong pencerobohan di Ukraine.
Pada Julai lalu, Tokayev secara terbuka meminta Presiden Rusia, Vladimir Putin menghentikan konflik tersebut.
Meskipun mengekalkan hubungan baik dengan Putin, Tokayev menegaskan kebimbangannya terhadap situasi semasa dan memegang teguh prinsip kedaulatan negara.
“Integriti wilayah semua negara mesti dihormati. Apa sahaja yang berlaku, Rusia dan Ukraine tetap sahabat kami,” kata Tokayev. -AFP