
BERLIN, 27 September – Munich dipilih Jawatankuasa Olimpik Jerman (DOSB) untuk mewakili negara itu dalam bidaan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2036, 2040 atau 2044.
- Pengumuman dibuat oleh Presiden Frank-Walter Steinmeier di Baden-Baden.
- Munich mengatasi pencalon Cologne/Rhine-Ruhr selepas Berlin dan Hamburg menarik diri.
- Perdana Menteri Bavaria Markus Soeder menggesa kerjasama kebangsaan demi peluang bersejarah.
- Bidaan berpusat di Taman Olimpik utara Munich, dibina untuk 1972 dan menjalani naik taraf baru-baru ini.
Keputusan itu diumumkan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier di bandar peranginan Baden-Baden pada Sabtu.
Munich dipilih mengatasi wilayah Cologne/Rhine-Ruhr selepas Berlin menarik diri pada Khamis dan Hamburg berundur daripada persaingan pada Mei.
Perdana Menteri Bavaria, Markus Soeder berkata, keputusan itu perlu dilihat sebagai usaha seluruh Jerman untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan.
“Matlamat kami adalah bekerjasama untuk membawa temasya ini ke Jerman. Ini peluang bersejarah dan kami mahu tampil sebagai sebuah negara yang bersatu, dari utara ke selatan dan dari timur ke barat,” katanya selepas pengumuman itu.
Bidaan Munich berpusat di Taman Olimpik di utara bandar itu yang dibina untuk Sukan Olimpik 1972 dan menjalani beberapa kerja naik taraf dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Canselor Jerman, Friedrich Merz, turut mengucapkan tahniah kepada Munich dan Bavaria atas pemilihan itu.
“Jerman kini mempunyai calon Olimpik. Munich akan bertanding bagi pihak kita,” katanya sambil menegaskan Jerman bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.
Pemilihan Munich oleh DOSB menjadi langkah awal sebelum Jerman mengemukakan bidaan rasmi kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk salah satu daripada tiga edisi Sukan Olimpik Musim Panas berkenaan. – AFP