Dakwaan kadar pemutuan padi minimum 20 peratus tidak benar

Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 September – Dakwaan kononnya kadar pemutuan minimum sebanyak 20 peratus dikenakan terhadap jualan padi pesawah adalah tidak benar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar pemutuan ditentukan berdasarkan kualiti fizikal padi seperti kelembapan, padi muda, padi rosak dan kandungan bendasing.
  • Pemutuan dilaksanakan mengikut Kaedah Pemutuan Sebenar Padi dan Piawaian MS 84:2017; SOP perlu dipatuhi semua kilang padi.
  • Operasi pemantauan khas dilancarkan di seluruh negara bagi memastikan pemutuan telus, adil, melindungi pesawah dan mengelakkan ketirisan subsidi.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan, kadar pemutuan ditentukan berdasarkan kualiti fizikal hasil tuaian ketika padi dijual.

Antara aspek yang dinilai ialah tahap kelembapan, jumlah padi muda, padi rosak serta kandungan kotoran atau bendasing.

Menurut KPKM, sekiranya padi yang dihantar berada pada tahap kualiti optimum, kadar potongan yang dikenakan adalah jauh lebih rendah mengikut standard ditetapkan.

“Penilaian ini tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya dikira secara adil berdasarkan kualiti sebenar padi,” menurut kenyataan itu.

KPKM berkata, proses pemutuan dilaksanakan berasaskan Kaedah Pemutuan Sebenar Padi yang diperkenalkan sejak 2017 berpandukan Piawaian Spesifikasi dan Penggredan Padi MS 84:2017.

Prosedur Operasi Standard (SOP) berkenaan perlu dipatuhi semua kilang padi termasuk BERNAS dan swasta bagi memastikan tafsiran serta pelaksanaan pemutuan lebih seragam di seluruh negara.

Langkah itu turut bertujuan melindungi pesawah daripada ketidakadilan, selain memastikan Subsidi Harga Padi diberikan berdasarkan kualiti serta hasil sebenar yang bersih dan mengelakkan ketirisan dana awam.

Pada masa sama, operasi pemantauan khas pemutuan padi secara berjadual telah digerakkan di seluruh negara sejak 14 September lalu menerusi Seksyen Kawalselia Padi dan Beras di peringkat negeri.

Operasi itu dilaksanakan susulan musim tuaian yang sedang rancak di beberapa negeri dan akan diperluas ke negeri lain apabila proses penuaian bermula dalam masa terdekat.

Pemantauan itu bertujuan memastikan setiap kilang mematuhi tatacara pemutuan secara telus, adil dan berintegriti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.