
SEOUL, 21 September – Tiga orang, termasuk anggota tentera Korea Selatan cedera dalam kejadian yang disyaki letupan periuk api di Zon Bebas Tentera (DMZ).
- Anggota tentera cedera parah semasa operasi di Zon Bebas Tentera yang melibatkan Divisyen Infantri ke-25.
- Yonhap TV melaporkan mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Ibu Kota Angkatan Tentera.
- Masih belum pasti sama ada periuk api itu dipasang oleh Korea Utara atau milik Korea Selatan.
- DMZ mengandungi kira-kira 800,000 periuk api, kebanyakannya dari Perang Korea, pemasangan masih diteruskan.
Kecederaan melibatkan anggota tentera Korea Selatan itu disahkan oleh seorang pegawai.
“Seorang anggota tentera cedera parah semasa satu operasi di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang melibatkan Divisyen Infantri ke-25,” kata seorang pegawai tentera, merujuk kepada zon penampan yang memisahkan kedua-dua negara Korea itu.
Saluran televisyen Korea Selatan, Yonhap TV melaporkan, ketiga-tiga mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut telah dikejarkan ke Hospital Ibu Kota Angkatan Tentera.
Masih belum dapat dipastikan sama ada periuk api itu dipasang oleh tentera Korea Utara atau milik tentera Korea Selatan, menurut laporan stesen televisyen berkenaan.
DMZ, yang membahagikan semenanjung itu kepada dua sejak berakhirnya Perang Korea 1950-1953 menerusi perjanjian gencatan senjata, merupakan antara kawasan paling banyak dipasang periuk api di dunia.
Menurut data tentera, dianggarkan terdapat kira-kira 800,000 periuk api yang tertanam di kawasan tersebut, kebanyakannya berasal dari zaman Perang Korea, walaupun aktiviti pemasangan periuk api masih diteruskan sejak kebelakangan ini.
Pada 2024, selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, melabelkan Korea Selatan sebagai “musuh utama” negara itu, tentera Pyongyang menghabiskan masa berbulan-bulan memasang periuk api dan membina halangan anti-kereta kebal di sepanjang sempadan sebagai sebahagian daripada usaha menutup sempadan itu secara kekal. -AFP