Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama pembangunan luar bandar

Timbalan Perdana Menteri dalam sidang media bersama Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia di Jakarta

JAKARTA, 17 September – Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama pembangunan luar bandar menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi tumpuan kepada usaha membasmi kemiskinan tegar, meningkatkan taraf sosioekonomi serta merapatkan jurang pembangunan masyarakat desa.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU antara KKDW dan KEMENDES PDT fokus pembinaan keupayaan, pertukaran kepakaran, pembangunan modal insan dan perkongsian amalan terbaik.
  • Inisiatif termasuk Program Pertukaran Desa 'Sister Village', Homestay Nusantara dan latihan kepimpinan desa peringkat akar umbi.
  • Malaysia memilih tiga kampung rintis di Pahang, Johor dan Sabah untuk menyertai ASEAN Village Network cetusan Indonesia.
  • Malaysia mohon sokongan Indonesia bagi penubuhan ARDIC dan kedua negara memperkukuh TVET untuk tingkatkan mobiliti sosial ekonomi belia luar bandar.

MoU Kerjasama Pembangunan Luar Bandar itu dimeterai antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia (KEMENDES PDT).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW berkata, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan, pertukaran kepakaran, pembangunan modal insan serta perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua negara.

“Dan Insya-Allah mungkin ini akan sama-sama kita berkongsi, mempelajari sesuatu yang baik demi kepentingan dan kesejahteraan penduduk-penduduk di perdesaan,” katanya dalam sidang media selepas sesi pemeteraian MoU berkenaan bersama Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia, Yandri Susanto, di sini.

Antara inisiatif yang bakal diteroka ialah Program Pertukaran Desa atau ‘Sister Village’, Homestay Nusantara serta latihan kepimpinan desa di peringkat akar umbi.

Malaysia turut memilih tiga kampung rintis di Pahang, Johor dan Sabah untuk menyertai ASEAN Village Network yang dicetuskan oleh Indonesia.

Pada masa sama, Malaysia memohon sokongan Indonesia terhadap cadangan penubuhan ASEAN Rural Development and Innovation Council (ARDIC), sebagai platform penyelarasan dasar dan perkongsian inovasi pembangunan luar bandar dalam kalangan negara ASEAN.

Kedua-dua negara turut membincangkan usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan mobiliti sosial serta ekonomi generasi muda di kawasan luar bandar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.