
BANGKOK, 9 September – Seorang anggota polis menembak mati isterinya yang juga seorang guru di sebuah tadika di wilayah Chonburi, Thailand, pada Rabu.
- Kesemua 44 kanak-kanak serta tiga guru dan tiga kakitangan dipindahkan dengan selamat.
- Suspek meninggalkan premis, pulang ke rumah; polis mengepung dan sedang berunding supaya lelaki itu menyerah diri.
- Tadika diarahkan ditutup dan sokongan psikologi disediakan; motif kejadian masih belum diketahui.
Menurut pihak berkuasa, dalam kejadian itu bagaimanapun, semua kanak-kanak di premis berkenaan selamat.
Suspek kemudian pulang ke rumah selepas kejadian dengan polis sedang berunding agar lelaki itu menyerah diri.
Ia merupakan insiden tembakan terbaharu yang menggemparkan Thailand, kira-kira sebulan selepas seorang remaja menembak datuk dan neneknya, sebelum melepaskan tembakan ke arah lima kakitangan serta seorang murid di sekolahnya, dan kemudian membunuh diri.
Pengerusi Majlis Daerah Nong Pla Lai, Sayan Klomaon berkata, suspek tiba di sekolah itu kira-kira 10.30 pagi, waktu tempatan dan berbual dengan isterinya sebelum menembak wanita berkenaan.
“Tiada pelajar menyaksikan kejadian itu kerana ia berlaku di luar bilik darjah.
“Suspek kemudian meninggalkan sekolah dan pulang ke rumah, manakala semua kanak-kanak dijemput oleh keluarga masing-masing, ” katanya.
Sementara itu, Gabenor Chonburi, Naris Niramaiwong dalam satu hantaran di Facebook mengesahkan kesemua 44 kanak-kanak berjaya dipindahkan dengan selamat, bersama tiga guru dan tiga kakitangan lain.
Beliau berkata, polis telah mengepung rumah suspek dan sedang berunding bagi membolehkannya menyerah diri.
Motif kejadian masih belum diketahui.
Naris turut mengarahkan tadika berkenaan ditutup dan bantuan sokongan psikologi disediakan kepada kanak-kanak serta kakitangan yang menyaksikan kejadian itu.
Pada 2022, seorang bekas anggota polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerbu sebuah pusat asuhan kanak-kanak di utara Thailand, mengorbankan 24 kanak-kanak dan 12 orang dewasa. – AFP