
KUANTAN, 7 September – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang merekodkan 1,003 kes kebakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, melibatkan kawasan seluas kira-kira 2,721.88 hektar.
- Kes kebakaran terbuka meningkat kira-kira 52 peratus, manakala keluasan kawasan terlibat naik lebih 134 peratus berbanding tahun lalu.
- Kategori belukar merekodkan jumlah kebakaran tertinggi dengan 619 kes.
- Pemantauan ForFIS mengesan 42 titik panas di beberapa daerah termasuk Lipis, Temerloh, Rompin dan Kuantan.
- MetMalaysia jangka El Nino berterusan hingga April 2027. Orang ramai dinasihat elak pembakaran terbuka dan hubungi 999 segera.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, jumlah itu meningkat kira-kira 52 peratus dari segi bilangan kes, manakala keluasan kawasan terlibat meningkat lebih 134 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, kategori belukar merekodkan jumlah kebakaran tertinggi dengan 619 kes.
Pemantauan menerusi Sistem Maklumat Kebakaran Hutan (ForFIS) bagi tempoh 5 hingga 7 September lepas turut mengesan 42 titik panas di beberapa daerah di Pahang, antaranya daerah Lipis, Temerloh, Rompin, Kuantan, Maran, Bera dan Pekan.
Susulan jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa fenomena El Niño yang sedang melanda negara dijangka berterusan sehingga April 2027, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta mengelakkan sebarang aktiviti yang berpotensi mencetuskan kebakaran.
Pihak bomba akan terus mempergiat pemantauan serta memperkukuh kesiapsiagaan operasi berdasarkan keadaan cuaca dan perkembangan risiko kebakaran semasa.
Orang ramai yang menyaksikan sebarang kejadian kebakaran digesa segera menghubungi talian kecemasan 999.