Polis buru 10 suspek kes gaduh berkumpulan

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dalam sidang media di IPK Selangor

SHAH ALAM, 7 September – Polis sedang memburu 10 suspek bagi membantu siasatan berhubung dua kes pergaduhan berkumpulan di Alam Megah dan Seri Muda, di sini, bulan lalu, yang membabitkan penggunaan senjata tajam serta objek menyerupai pistol.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh dikehendaki bagi kes pertama, tiga dikehendaki bagi kes kedua.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
  • Operasi khas 14 hingga 28 Ogos menahan 21 lelaki, umur 23 hingga 46; 12 didakwa, lapan dibebaskan.
  • Rampasan termasuk tujuh parang, tukul besi, pemotong kabel, kenderaan dan telefon bimbit sebagai bahan bukti.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, tujuh daripada suspek dikehendaki bagi kes pertama, manakala tiga lagi bagi kes kedua.

Gambar kesemua suspek yang dikehendaki akan diedarkan dalam masa terdekat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terserempak dengan mana-mana suspek diminta tampil membantu siasatan.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi membantu melengkapkan siasatan dan memastikan semua individu yang terbabit dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.

Menurut Datuk Shazeli, siasatan terperinci berhubung kedua-dua kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Susulan kejadian itu, Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melancarkan operasi khas dari 14 hingga 28 Ogos lalu di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Johor.

Operasi berkenaan membawa kepada penahanan 21 lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 46 tahun, dengan semakan mendapati sebahagian daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan kesalahan berkaitan dadah.

Daripada jumlah itu, 12 suspek telah dihadapkan ke mahkamah, manakala lapan suspek dibebaskan berikutan kekurangan keterangan dan bahan bukti.

Polis turut merampas pelbagai senjata dan eksibit penting bagi membantu siasatan, antaranya tujuh bilah parang, sebatang tukul besi, dua pemotong kabel, sebuah alat pengunci stereng, sembilan kereta, tiga motosikal serta beberapa telefon bimbit.

Hasil semakan lanjut turut mendapati, lelaki yang maut dalam kejadian berkenaan mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan awal mendapati kes pertama berpunca daripada perebutan kawasan, manakala kes kedua dipercayai berlaku akibat salah faham.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.