
BESERI, 7 September – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) akan terus memperjuangkan kebajikan lebih 182,000 ahli di seluruh negara bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka terhadap negara.
- Jawatankuasa PVATM negeri terlibat aktif membela nasib bekas tentera yang telah bersara.
- Fokus pada sokongan kesihatan termasuk bantuan perubatan dan kemudahan untuk ahli yang menghadapi masalah kesihatan.
- Memperjuangkan elaun dan bantuan sara hidup, khususnya bagi veteran yang bersara sebelum 2013.
- Menyeru veteran yang belum berdaftar agar mendaftar melalui sistem VIBES 2.0 JHEV untuk menerima bantuan.
Usaha digerakkan dengan penglibatan aktif jawatankuasa PVATM di setiap negeri dalam usaha membela nasib bekas tentera yang telah bersara dari perkhidmatan masing-masing.
Menurut Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar, fokus utama termasuklah daripada aspek kesihatan ahli dengan memberi sokongan dan bantuan kepada mana-mana ahli yang berdepan masalah kesihatan termasuklah mendapatkan bantuan perubatan.
“PVATM turut memperjuangkan elaun dan bantuan sara hidup disebalik kenaikan kos sara hidup yang dihadapi veteran tentera terutamanya bagi mereka yang bersara sebelum 2013,” katanya.
Beliau memaklumkannya pada Persidangan Perwakilan Tahunan Kali Ke-61 PVATM Negeri Perlis di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Alor Tampang, Beseri pada Ahad.
Beliau turut menyeru mana-mana veteran yang masih belum berdaftar, untuk segera mendaftar menerusi sistem VIBES 2.0 iaitu portal rasmi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM agar setiap veteran menerima setiap bantuan yang disediakan kerajaan dan persatuan.
Bersempena persidangan itu, seramai sembilan ahli persatuan yang banyak menyumbang kepada ahli persatuan serta komuniti setempat menerima Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) bagi mengiktiraf sumbangan mereka.
Turut hadir, Yang Dipertua PVATM Negeri Perlis, Azemi Zakaria.