
BINTULU, 28 Ogos – Pelabuhan Bintulu akan secara rasmi beralih daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak mulai 1 September ini.
- Peralihan membuka lembaran baharu selepas 47 tahun berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
- Pewartaan menamatkan kuat kuasa Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu ditandatangani Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
- Majlis Perpisahan menghargai sumbangan LPB sepanjang 47 tahun, bertema 'Built by MOT, A Legacy for Sarawak'.
- Sarawak bercadang menyatukan pelabuhan negeri di bawah satu pihak berkuasa untuk memperkemas tadbir urus dan pelaksanaan Pelan Induk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peralihan itu membuka lembaran baharu dalam sejarah Pelabuhan Bintulu, selepas 47 tahun berada bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Pewartaan bagi menamatkan kuat kuasa Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu telah ditandatangani Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dan akan berkuat kuasa pada 31 Ogos ini.
“Hari ini kita telah diberitahu bahawa menteri telah menandatangani warta untuk menamatkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu, yang akan berkuat kuasa mulai 31 Ogos 2026. Bermakna mulai 1 September 2026, Kerajaan Sarawak akan mengurus Pelabuhan Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perpisahan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) daripada Kerajaan Persekutuan di sebuah hotel, di sini malam tadi.
Majlis yang bertemakan ‘Built by MOT – A Legacy for Sarawak’ itu diadakan sebagai penghargaan terhadap sumbangan LPB sepanjang 47 tahun di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, LPB kini memasuki era baharu bersama Kerajaan Sarawak, dengan legasi yang dibina sejak penubuhannya perlu terus dipelihara.
Beliau merakamkan penghargaan kepada generasi perintis yang membina asas LPB, termasuk generasi yang mengembangkan serta memperkukuh institusi berkenaan.
“Lembaga Pelabuhan Bintulu ini telahpun kita kembalikan kepada bidang kuasa Kerajaan Negeri dan selepas ini sudah tentu Kerajaan Sarawak akan mengkonsolidasikan dan menubuhkan satu port authority yang lebih bersepadu.
“Apabila Sarawak berjaya, ia juga merupakan Malaysia yang berjaya. Sudah tentu Kementerian Pengangkutan Malaysia ingin melihat perkembangan sektor pelabuhan menjadi lebih baik di Sarawak kerana apabila pelabuhan-pelabuhan Sarawak mempunyai prestasi yang baik, ia juga akan melonjakkan prestasi negara kita,” katanya.
Sepanjang 47 tahun bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, LPB memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan sektor perdagangan, perindustrian, tenaga dan logistik.
Peralihan itu turut menandakan fasa baharu pengurusan Pelabuhan Bintulu sebagai aset strategik Sarawak, selain memperkukuh peranan negeri itu sebagai hab maritim, industri dan logistik.
Kerajaan Sarawak sebelum ini menyatakan hasrat untuk menyatukan pelabuhan-pelabuhan di negeri itu bawah satu pihak berkuasa pelabuhan bagi memperkemas tadbir urus serta pelaksanaan Pelan Induk Pelabuhan Sarawak.