
OSLO, 28 Ogos – Raja Norway, Raja Harald V, mangkat pada usia 89 tahun di Hospital Universiti Oslo pada pagi Jumaat, selepas beberapa minggu menerima rawatan akibat masalah kesihatan.
- Istana Diraja mengesahkan kemangkatan baginda, dan bendera Istana Oslo diturunkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan.
- Baginda dimasukkan ke hospital pada 17 Ogos kerana jangkitan bakteria dalam darah; keadaan bertambah serius sebelum kemangkatan.
- Raja yang memperkenalkan pendekatan moden, menyatukan rakyat, dan digantikan oleh Putera Mahkota Haakon sebagai pewaris takhta.
Istana Diraja Norway dalam kenyataan memaklumkan baginda mangkat dengan aman pada jam 6.35 pagi waktu tempatan (12.35 tengah hari waktu Malaysia).
Susulan kemangkatan itu, bendera di Istana Diraja Oslo diturunkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan kepada raja yang memerintah Norway sejak 1991.
Raja Harald dimasukkan ke hospital pada 17 Ogos lalu dan sebelum ini menerima rawatan bagi jangkitan bakteria dalam darah.
Keadaan kesihatan baginda kemudiannya merosot dan disifatkan sangat serius oleh pihak istana pada Khamis.
Baginda merupakan raja paling tua yang masih memerintah di Eropah dan telah menerajui Norway selama lebih 35 tahun.
Dilahirkan pada 21 Februari 1937, Raja Harald menaiki takhta pada 17 Januari 1991 selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Olav V.
Sepanjang pemerintahannya, Raja Harald dikenali sebagai raja yang memperkenalkan pendekatan lebih moden terhadap institusi beraja Norway, termasuk menekankan keterangkuman, toleransi dan perpaduan rakyat.
Baginda juga memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat ketika Norway berdepan beberapa tragedi besar, termasuk serangan pengganas pada 2011.
Raja Harald berkahwin dengan Sonja Haraldsen pada 1968, yang ketika itu bukan daripada keluarga diraja, sekali gus mencabar tradisi lama institusi beraja Norway.
Putera Mahkota Haakon, anak lelaki tunggal Raja Harald dan Ratu Sonja, kini menjadi pewaris takhta dan menggantikan baginda sebagai raja Norway.
Kemangkatan Raja Harald berlaku ketika keluarga diraja Norway berdepan beberapa isu dan kontroversi, namun baginda kekal dikenang sebagai tokoh penyatu yang mempunyai hubungan rapat dengan rakyat sepanjang lebih tiga dekad pemerintahannya. – REUTERS