RCI Tabung Haji: Sebarang penyelewengan disiasat hingga ke lubang cacing

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kerajaan Madani akan memastikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan, termasuk menyiasat sebarang penyelewengan hingga ke akar umbi.

RINGKASAN BERITA AI
  • RCI dianggotai enam tokoh berwibawa diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada Julai 2021.
  • Gabungan kepakaran perundangan, pentadbiran awam, perbankan, Syariah dan audit menjamin siasatan bebas dan profesional tanpa campur tangan.
  • Titah perkenan Raja dan ketegasan Sultan Ibrahim menuntut siasatan menyeluruh hingga ke lubang cacing.
  • Fokus utama memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI diselesaikan tegas untuk memelihara amanah jutaan pendeposit dan kesucian harta umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata perkara itu selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong serta ketegasan Sultan Ibrahim yang mahu sebarang penyelewengan disiasat secara menyeluruh.

“Desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat ini menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Madani akan menggalas amanah berkenaan dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah SWT, selain memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang.

Zulkifli berkata penubuhan RCI itu membabitkan enam tokoh berwibawa yang diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pada Julai 2021.

Menurutnya, gabungan kepakaran anggota RCI dalam bidang perundangan, pentadbiran awam, perbankan, Syariah dan audit memastikan setiap siasatan serta cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil dan berintegriti tanpa sebarang campur tangan.

Beliau berkata pelaksanaan RCI itu juga didukung oleh titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2021, selain ketegasan Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata sebagai sebuah institusi Parlimen yang berwibawa, beliau menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan kerajaan bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.

“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji dapat diselesaikan secara tegas dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.