Perbincangan KBS, Azizulhasni menuju LA28 positif

Datuk Azizulhasni Awang/ Fail RTM

SHAH ALAM, 20 Ogos- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mengadakan perbincangan dengan jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang berhubung penyertaannya pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan merangkumi pembiayaan, sokongan ISN, R&D dan persiapan fizikal Azizulhasni.
  • Perbincangan berjalan sangat positif, menurut Menteri Dr Mohammed Taufiq Johari.
  • Sebarang pengumuman rasmi akan dibuat selepas tamat Sukan Asia.
  • Azizulhasni tinggalkan program RTG ke Paris 2024 lalu menjadi pelumba profesional; menang emas keirin Komanwel Glasgow 2026.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata perbincangan itu meliputi aspek pembiayaan, sokongan Institut Sukan Negara (ISN), penyelidikan dan pembangunan serta persiapan fizikal atlet berkenaan.

“Perbincangan ini bukan sahaja membabitkan soal dana, malah turut merangkumi sokongan Institut Sukan Negara (ISN), aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta persiapan fizikal beliau.

“Setakat ini, perbincangan berjalan dengan sangat positif. Bagaimanapun, sebarang pengumuman rasmi dan perincian muktamad hanya akan dibuat selepas tamat Sukan Asia,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi acara wushu Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan berhubung perkara itu akan dibuat selepas perbincangan antara semua pihak selesai.

Datuk Azizulhasni sebelum ini berada dalam program Road To Gold (RTG) bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum memutuskan untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelumba profesional tahun lepas.

Beliau terus mencuri tumpuan apabila menamatkan penantian 16 tahun untuk bergelar juara Sukan Komanwel selepas memenangi emas acara keirin lelaki pada edisi Glasgow 2026, awal bulan ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.