Amir Daniel idam pingat Olimpik pertama judo Malaysia

Amir Daniel Abdul Majeed/ RTM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 menyuntik keyakinan atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed untuk memburu pencapaian lebih besar termasuk menjadi atlet pertama Malaysia meraih pingat Olimpik dalam sukan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amir Daniel, 21, kini berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad judo Pulau Pinang pada SUKMA Selangor 2026.
  • Kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara melalui sukan judo.
  • Amir terharu dan menyifatkan ibu serta jurulatih sebagai sumber inspirasi dan sokongan utama.
  • Jurulatih Md Nashriq: cabaran utama pengurusan masa antara pengajian USM, pertandingan dan latihan; perlu jadual teliti, latihan luar negara, fokus kekuatan, kecergasan dan teknik.

Atlet kebangsaan berusia 21 tahun yang kini berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad judo Pulau Pinang pada SUKMA Selangor 2026 itu berkata kejayaan berkenaan menjadi pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara menerusi sukan judo.

Katanya, pencapaian dalam judo bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya peluang untuk mengharumkan nama negara.

“Saya sangat terharu kerana dapat melakar sejarah untuk negara dan komuniti judo. Ibu dan jurulatih merupakan sumber inspirasi utama dalam perjalanan saya sebagai atlet,” katanya kepada media selepas Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini, hari ini.

Sementara itu, jurulatih judo, Md Nashriq Md Nassir berkata pengurusan masa antara pengajian Amir Daniel di Universiti Sains Malaysia (USM), kejohanan dan latihan menjadi cabaran utama ketika ini.

“Saya rasa cabaran paling besar ialah pengurusan masa kerana dia (Amir Daniel ) masih belajar. Kami perlu menyusun jadual antara pengajian, peperiksaan, kejohanan dan latihan di luar negara. Itu cabaran terbesar yang perlu kami hadapi,” katanya.

Md Nashriq berkata pasukan kejurulatihan turut memberi penekanan terhadap kekuatan, kecergasan dan teknik, selain merancang lebih banyak latihan di luar negara bagi meningkatkan tahap persiapan Amir Daniel.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.