Keyakinan terhadap TH kekal kukuh

Foto RTM

BATU PAHAT, 17 Ogos – Keyakinan masyarakat terhadap Tabung Haji (TH) kekal kukuh meskipun, institusi itu sebelum ini berdepan pelbagai isu berkaitan tadbir urus dan pengurusan kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rata-rata pengamal undang-undang percaya penambahbaikan serta langkah kerajaan mampu memperkukuh kembali keyakinan pendeposit.
  • Masyarakat berharap TH terus menjadi platform simpanan umat Islam khusus untuk menunaikan ibadah haji.
  • Husaini yakin kerajaan ambil langkah wajar, beri penerangan jelas dan menyeru kerjasama menyelamatkan institusi.
  • Peguam Syarie dan pegawai dianggap berwibawa serta beramanah; TH dilihat selamat untuk simpanan jangka panjang.

Tinjauan RTM mendapati, rata-rata masyarakat terutama dalam kalangan pengamal perundangan berpandangan, penambahbaikan serta langkah yang dilaksanakan kerajaan mampu memperkukuh semula keyakinan pendeposit terhadap TH.

Selain itu, berharap institusi tersebut terus berfungsi sebagai platform simpanan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Bagi Peguambela dan Peguamcara, Husaini Arbain, beliau yakin kerajaan telah melaksanakan langkah wajar dalam menangani isu yang timbul.

“Secara dasarnya, saya percaya dengan TH. Saya tidak ada masalah dengan perkara tersebut dan saya rasa kerajaan telah mengambil langkah yang wajar untuk menyelamatkan institusi ini, dengan memberikan penerangan yang jelas.

Kita kena sama-sama selamatkan negara dan institusi kita. Kita perlu bekerjasama untuk sama-sama menyelamatkan institusi dan negara.

TH merupakan institusi yang sangat dihormati di seluruh dunia. Daripada kita memikirkan masalah, lebih baik kita fikirkan penyelesaian,” Katanya.

Manakala, bagi Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia Cawangan Kelantan, Zainal Abidin Mustafa, berpendapat, TH masih mempunyai barisan pengurusan dan pegawainya yang berwibawa serta beramanah.

“Alhamdulillah, setakat ini, kami percaya masih ada orang hebat yang menguruskan TH, terutama sekali Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri Agama, Dr. Zulkifli Hasan.

Saya yakin beliau berpengalaman, bukan sahaja sebagai bekas peguam, tetapi juga pernah menjadi pegawai yang terlibat dalam tadbir urus kewangan.

Insya-Allah, TH akan pulih. Saya percaya dengan menteri yang ada dan masih ramai lagi pegawai yang beramanah dalam institusi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia Pahang, Dr. Hasiah Mat Salleh berkata, TH masih lagi kukuh sebagai institusi simpanan umat Islam bagi tujuan jangka panjang, khususnya untuk menunaikan ibadah haji.

“Saya percaya kepada simpanan di TH kerana bagi saya, itulah simpanan umat Islam untuk menabung dalam jangka masa panjang dengan dividen yang berpatutan.

Dengan TH, kita sudah ada niat untuk menabung dalam jangka panjang, terutama untuk tujuan ibadah. Saya percaya mereka tahu menjaga simpanan dan bukan mudah duit di bank hilang memandangkan kita ada perlindungan dan sistem tertentu.

Setakat ini, saya masih percaya dan insya-Allah kita doakan yang terbaik untuk TH agar terus membantu, khususnya umat Islam, untuk menyelesaikan ibadah haji serta sebagai tabungan jangka panjang untuk generasi seterusnya,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.