12 maut dalam kemalangan bas di lebuh raya Hungary

Anggota penyelamat bergegas ke lokasi nahas di lebuh raya M3 berhampiran Mezokeresztes, kira-kira 150 kilometer di timur Budapest, Hungary pada 16 Ogos 2026./ AFP

BUDAPEST, 17 Ogos – Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala 10 lagi cedera parah dalam insiden sebuah bas dari Poland terbabas dan terjunam ke dalam parit di lebuh raya M3, Hungary awal Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan berlaku di lebuh raya M3 berhampiran Mezokeresztes sekitar pukul 1 pagi; lebuh raya ditutup beberapa jam untuk operasi menyelamat.
  • Pemandu bas ditahan polis, dipercayai tertidur ketika memandu, dan pejabat pendakwa raya memulakan siasatan menyeluruh.
  • Poland hantar pesawat khas dan pasukan perubatan termasuk pakar bius, pakar bedah, ortopedik dan paramedik untuk bantuan kecemasan.

Polis Hungary berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan berhampiran Mezokeresztes, kira-kira 140 kilometer di timur Budapest.

Bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Serbia ke Poland membawa 57 penumpang dan dua pemandu sebelum terbabas keluar dari laluan dan terjunam ke dalam parit, menurut agensi pengurusan bencana negara itu.

Sebelas mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurut perkhidmatan ambulans, 37 lagi penumpang mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke hospital di empat bandar.

Menteri Dalam Negeri Hungary, Gabor Posfai, berkata pemandu bas berkenaan telah ditahan.

Media tempatan memetik polis sebagai berkata pemandu dipercayai terlelap ketika memandu.

Diplomat Poland, Andrzej Osiak, berkata lima daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan sedang bertarung nyawa.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, mengarahkan sebuah pesawat khas dihantar ke Budapest bagi membawa bantuan perubatan dan kecemasan kepada mangsa yang terjejas.

Timbalan Setiausaha Negara Kementerian Kesihatan Poland, Katarzyna Anna Kacperczyk, berkata pasukan yang dihantar termasuk seorang pakar bius, pakar bedah, pakar ortopedik dan tiga paramedik.

Menteri Pertahanan Poland, Wladyslaw Kosiniak-Kamysz, pula berkata sebuah pesawat CASA disediakan, selain pasukan pemindahan perubatan tentera sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Menteri Kehakiman Poland, Waldemar Zurek, berkata pejabat pendakwa raya negara itu telah mengambil langkah segera bagi menyiasat sepenuhnya punca dan keadaan yang membawa kepada tragedi berkenaan.

Lebuh raya M3 ditutup selama beberapa jam bagi membolehkan operasi menyelamat dan kerja-kerja pengalihan bas dijalankan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.