
PUTRAJAYA, 16 Ogos – Dasar kepartian Parti Tindakan Demokratik (DAP) kekal sebagai parti berbilang kaum yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
- DAP ditubuhkan berasaskan idealisme perjuangan keadilan, kebebasan dan demokrasi untuk kepentingan seluruh rakyat.
- Parti menegaskan peluang sama rata dan kehidupan lebih baik untuk setiap rakyat, nilai tidak dilupakan oleh CEC dan anggota.
- Lim Kit Siang menolak cadangan MCA supaya DAP dibubarkan, menegaskan DAP mempunyai pemimpin dan ahli dari pelbagai kaum.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata parti itu ditubuhkan atas satu idealisme iaitu menfokuskan perjuangan keadilan, kebebasan dan demokrasi demi kepentingan seluruh rakyat.
“Supaya rakyat Malaysia mempunyai kehidupan yang lebih baik, setiap rakyat mempunyai peluang yang sama untuk mereka berjaya dalam hidup dan berjaya dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi.
Ini adalah idealisme parti kita yang tidak boleh dilupakan daripada kepimpinan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) kepada setiap anggota DAP,” jelasnya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang pernah menolak tawaran Malayan Chinese Association (MCA) supaya DAP dibubarkan dan menyertai parti itu kerana tegas mempertahankan prinsip DAP iaitu parti untuk semua kaum.
“Saudara Lim Kit Siang dengan tegas menolak cadangan itu kerana beliau berkata DAP bukan parti untuk orang Cina, DAP ada pemimpin dan ahli kaum India, Melayu dan untuk rakyat Malaysia,” tegas beliau.