Penggunaan AI pelihara warisan seni terancam ASEAN-China

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff pada Majlis Pembukaan Program ACH-DNA 2.0/ Foto FB MOTAC

KUALA LUMPUR, 10 Ogos Penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengarkiban digital kini menjadi pendekatan baharu dalam memastikan warisan seni dan budaya rantau ASEAN-China tidak pupus ditelan zaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI dan arkib digital memelihara warisan seni, membina arkib komprehensif serta meluaskan akses awam.
  • Teknologi merapatkan jurang antara tradisi dan inovasi, memastikan relevansi budaya dalam arus perubahan.
  • Usaha kolektif dan berani diperlukan untuk mengatasi globalisasi serta kerapuhan pemindahan pengetahuan antara generasi.
  • Penerapan teknologi mesti selari dengan kemampanan sosial dan alam sekitar mengikut Matlamat Pembangunan Mampan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, langkah itu mampu merapatkan jurang antara tradisi dengan teknologi dalam memastikan warisan seni dan budaya terus segar serta kekal relevan dalam arus perubahan masa.

Menurut beliau, usaha kolektif dan berani menerusi kaedah moden perlu untuk mendepani cabaran arus globalisasi dan kerapuhan pemindahan pengetahuan antara generasi.

“Kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital menawarkan kaedah transformatif bagi memelihara tradisi yang terancam, sama ada melalui pembentukan arkib digital yang komprehensif, menginspirasikan rekaan kontemporari, mahupun meluaskan akses awam di peringkat global.

“Paling utama, kemudahan ini membolehkan kita menarik minat generasi muda sambil kekal memelihara ketulenan dan integriti budaya warisan kita sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Program ASEAN-China Heritage Dimensions of National Arts (ACH-DNA) 2.0 di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Mohd Yusri menegaskan, kemajuan teknologi yang digunakan perlulah berjalan seiring dengan kemampanan sosial dan alam sekitar, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN SDGs).

Edisi kedua program ACH-DNA 2.0 yang bertemakan “Meneroka Semula Warisan Menerusi Inovasi (Reimagining Heritage Through Innovation)” ini dianjurkan bawah Kepengerusian Malaysia bagi Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Mengenai Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) bagi penggal 2024–2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.