
SOFIA, 7 Ogos – Bulgaria menjadi negara terbaharu di Tenggara Eropah yang terjejas akibat kebakaran hutan susulan gelombang haba yang kini bergerak meluas ke arah timur benua berkenaan.
- Lebuh Raya Trakia ditutup dua arah selepas kebakaran melintasi laluan itu akibat angin kencang.
- NOVA melaporkan api melintasi lebuh raya kira-kira 70 km tenggara Sofia.
- Rakaman Kementerian Pertahanan menunjukkan asap tebal dari kawasan hutan di wilayah Pazardzhik.
- Suhu purata 27°C, 4.7°C lebih tinggi; Eropah terus berdepan gelombang haba dan kebakaran musim panas.
Kejadian tersebut memaksa laluan utama Lebuh Raya Trakia ditutup dari kedua-dua arah pada Khamis.
Menurut portal berita tempatan, NOVA, tindakan itu dilakukan selepas angin kencang membawa marakan api melintasi lebuh raya berkenaan di lokasi kira-kira 70 kilometer di tenggara ibu negara, Sofia.
“Rakaman video yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan Bulgaria memaparkan kepulan asap tebal dari kawasan berhutan di wilayah Pazardzhik,” katanya.
Pada Jumaat, suhu purata di Bulgaria mencatatkan 27 darjah Celsius, iaitu 4.7 darjah Celsius lebih tinggi berbanding kadar purata kebiasaan.
Eropah, kini diiktiraf sebagai benua yang mengalami pemanasan paling pantas di dunia, terus berdepan ancaman gelombang haba melampau dan kebakaran hutan yang memusnahkan sepanjang musim panas ini.