
JAKARTA, 7 Ogos -Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta terus menjadi tumpuan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan apabila lebih 300 kes direkodkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, membabitkan suspek dari pelbagai negara.
- Sindiket penyeludupan merekrut keldai dadah tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk pekerja Indonesia di luar negara.
- Rampasan sering melibatkan psikotropik, etomidate, metamfetamin, manakala metamfetamin dan MDMA catat rampasan terbesar mengikut berat.
- Dadah turut diseludup menerusi kargo udara; pihak berkuasa menjejaki penerima sebelum mengesan pengirim.
- Pemeriksaan kastam dijalankan secara profesional berdasarkan data, risikan dan imbasan sinar-X tanpa diskriminasi kewarganegaraan atau etnik.
Secara purata, sekurang-kurangnya dua kes dikesan setiap hari di pintu masuk antarabangsa paling sibuk di Indonesia itu.
Ketua Pejabat Utama Kastam dan Eksais Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang, berkata angka itu mencerminkan skala penguatkuasaan di lapangan terbang yang mengendalikan kira-kira 25,000 hingga 30,000 penumpang antarabangsa setiap hari, ketika sindiket mengeksploitasi hab penerbangan utama dan merekrut keldai dadah tanpa mengira kewarganegaraan.
“Kami mempunyai banyak kes yang melibatkan penerbangan dari Malaysia atau Thailand, tetapi individu yang membawa dadah itu ialah rakyat Indonesia. Perkara seperti itu memang berlaku,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas.
Hengky berkata negara asal penerbangan tidak semestinya menggambarkan kewarganegaraan pembawa dadah atau asal usul bahan terlarang itu, memandangkan hab penerbangan utama seperti Malaysia, Thailand dan Hong Kong turut digunakan sebagai lokasi transit.
“Sindiket akan menggunakan sesiapa sahaja yang boleh dipergunakan. Mereka akan mendekati dan memujuk individu tertentu,” katanya sambil merujuk kepada kes rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara direkrut untuk membawa dadah ketika pulang ke tanah air.
Data kastam menunjukkan suspek yang ditahan tahun ini terdiri daripada warga pelbagai negara, termasuk Sepanyol, Malaysia, Perancis dan China. Thailand, Sepanyol, Malaysia dan Singapura pula dikenal pasti sebagai antara sumber utama dadah yang dirampas dalam kes penyeludupan.
Bahan psikotropik, etomidate dan metamfetamin merupakan antara bahan yang paling kerap diseludup, manakala metamfetamin dan MDMA mencatatkan rampasan terbesar dari segi berat.
Hengky berkata dadah turut diseludup menerusi kargo udara, dengan pihak berkuasa mengenal pasti penerima sebelum menjejaki penghantaran itu kepada pengirimnya.
Tumpuan terhadap isu itu meningkat susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia kebelakangan ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25 kilogram MDMA dirampas di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta minggu lalu.
Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda berhampiran Surabaya selepas pihak berkuasa menemukan 990 gram metamfetamin dan 1,089 pil ekstasi yang didakwa diikat pada badannya, manakala tiga wanita Malaysia ditahan di Soekarno-Hatta minggu ini selepas pihak berkuasa menemukan bahan yang disyaki MDMA, kokain dan ketamin.
Bagaimanapun, Hengky memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia yang melancong ke Indonesia tidak akan dikenakan pemeriksaan tambahan susulan kes-kes berkenaan, sambil menegaskan bahawa pemeriksaan kastam dijalankan secara profesional tanpa mengira kewarganegaraan, etnik atau warna kulit.
“Apabila melibatkan narkotik, kami bekerja secara profesional. Ia tiada kaitan dengan kewarganegaraan, etnik atau warna kulit. Kami bekerja berdasarkan data, risikan dan keputusan imbasan sinar-X. Kami hanya meneliti imej yang dipaparkan dan tidak mengetahui siapa pemilik bagasi itu. Jika terdapat sesuatu yang mencurigakan, barulah kami menjalankan pemeriksaan lanjut. Semua orang dilayan sama rata,” katanya.
Hengky berkata kes juruterbang itu mendapat perhatian meluas bukan kerana suspek merupakan rakyat Malaysia, tetapi kerana profesionnya menjadikan kes itu sesuatu yang luar biasa.
“Kes ini menjadi perhatian besar di Indonesia bukan kerana dia rakyat Malaysia, tetapi kerana dia seorang juruterbang. Kebetulan dia rakyat Malaysia, tetapi dia juga boleh sahaja seorang juruterbang dari mana-mana negara,” katanya.
Beliau berkata juruterbang perlu melalui proses pelesenan, pengambilan dan pemeriksaan kesihatan yang ketat, justeru dakwaan bahawa seorang juruterbang digunakan sebagai keldai dadah amat mengejutkan.
“Kami tidak pernah menyangka sindiket sanggup menggunakan juruterbang. Apa yang dianggap mustahil oleh pegawai penguat kuasa juga mungkin difikirkan oleh sindiket.
“Mereka mencari sesuatu yang dianggap tidak mungkin oleh pegawai, dan mungkin itulah yang akhirnya mereka cuba lakukan,” katanya.
Hengky berkata, setakat pengetahuannya, hanya satu lagi kes membabitkan juruterbang pernah direkodkan di Indonesia, iaitu melibatkan seorang juruterbang Indonesia kira-kira 20 tahun lalu.- BERNAMA