200 pelajar dalami ekosistem marin menerusi Blue School Malaysia

Peserta dan penganjur Blue School Malaysia Marine Camp 2026. / Foto UMT

KUALA NERUS, 7 Ogos – Seramai 200 pelajar sekolah di Terengganu mendapat pendedahan secara langsung mengenai ekosistem marin, biodiversiti dan kepentingan memelihara sumber laut menerusi Blue School Malaysia Marine Camp 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman meningkatkan literasi lautan dan membina rasa tanggungjawab pelajar terhadap kelestarian sumber marin.
  • Program menghubungkan pendidikan, penyelidikan, komuniti dan tindakan praktikal untuk melahirkan pelajar sebagai ejen perubahan kelestarian marin dan Ekonomi Biru.
  • UMT menyelia Blue School Malaysia di bawah UNESCO-IOC dan menyumbang kepakaran dalam sains marin, oseanografi, biodiversiti, perikanan serta konservasi.

Program anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi meningkatkan literasi lautan serta membentuk rasa tanggungjawab terhadap kelestarian marin.

Salah seorang peserta, Muhammad Haris Mikhail Mansor dari Sekolah Kebangsaan Durian Mas 1 berkata, program itu memberi pengalaman baharu dan meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan menjaga laut.

“Program ini sangat menyeronokkan kerana kami dapat belajar secara langsung tentang hidupan laut dan alam sekitar.

“Saya kini lebih faham mengapa kita semua perlu menjaga laut dan mengurangkan pencemaran supaya khazanah ini dapat dinikmati generasi akan datang,” katanya.

Pengarah program yang juga Penyelaras Kebangsaan Blue School Malaysia, Dr Afiq Durrani Mohd Fahmi berkata, pendekatan lapangan mampu membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar terhadap kelestarian sumber marin.

“Blue School memberi peluang kepada murid untuk belajar bersama alam, bukan sekadar tentang alam.

“Apabila mereka turun ke lapangan, memerhati ekosistem pantai, mengenali biodiversiti marin dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi lautan, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu, malah membina rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan sumber laut,” katanya.

Menurut beliau, pembudayaan literasi lautan perlu dimulakan sejak bangku sekolah memandangkan Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan laut dari aspek ekonomi, keterjaminan makanan, biodiversiti dan kesejahteraan masyarakat.

Program itu turut menghubungkan pendidikan, penyelidikan, komuniti dan tindakan praktikal bagi mendorong pelajar menjadi ejen perubahan dalam agenda kelestarian marin serta pembangunan Ekonomi Biru negara.

Blue School Malaysia diterajui UMT selaku penyelaras kebangsaan di bawah UNESCO-IOC Blue School Global Network yang menggalakkan penerapan literasi lautan menerusi pembelajaran rentas disiplin, aktiviti lapangan dan penglibatan komuniti.

Sebagai universiti berfokus marin, UMT menyumbang kepakaran dalam bidang sains marin, oseanografi, biodiversiti, perikanan dan konservasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.