
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Bekalan beras negara kekal stabil dan mencukupi dengan stok fizikal mencecah lebih 1.23 juta tan metrik setakat 30 Jun lalu, sekali gus mampu menampung keperluan domestik selama 6.19 bulan.
- BERNAS mengendalikan kira-kira 200,000 tan metrik stok penimbal, manakala baki hampir 1.04 juta tan metrik ialah stok dagangan.
- Kerajaan menyokong mekanisme stok penimbal melalui subsidi bagi mengawal harga Beras Putih Tempatan dan memastikan kebolehmilikan pengguna.
- Pendekatan stok penimbal dan stok dagangan menjadikan bekalan beras negara lebih berdaya tahan berbanding komoditi makanan lain.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 200,000 tan metrik merupakan stok penimbal beras negara yang dikendalikan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), manakala baki hampir 1.04 juta tan metrik ialah stok dagangan.
“Kita sentiasa memastikan bekalan beras sebagai makanan ruji utama negara kekal mencukupi melalui stok penimbal beras fizikal yang dikendalikan BERNAS serta stok dagangan yang mampu bertahan sekurang-kurangnya enam bulan sekiranya berlaku krisis bekalan global,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Datuk Chan berkata, mekanisme stok penimbal itu turut disokong subsidi kerajaan bagi mengawal harga Beras Putih Tempatan (BPT), sekali gus membantu memastikan harga beras kekal stabil dan mampu dimiliki pengguna.
Menurutnya, pendekatan itu menjadikan bekalan beras negara lebih berdaya tahan berbanding beberapa komoditi makanan lain, terutama ketika berlaku kenaikan harga di pasaran global.