
CARACAS, 4 Ogos – Angka kematian dalam dua kejadian gempa bumi kuat yang melanda Venezuela pada Jun lalu meningkat kepada 6,125 orang, menurut Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodriguez.
- Dua gempa kuat pada Jun lalu memusnahkan banyak bangunan; La Guaira menjadi negeri paling terjejas.
- Operasi mencari dan menyelamat diteruskan, dengan ramai mangsa cedera dan sesetengah masih hilang.
- Parlimen lulus undang-undang memudahkan penyewaan hartanah untuk membantu mangsa; ia perlu diperkenankan pemimpin interim.
Angka terbaharu itu diumumkan beberapa minggu selepas gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5 yang berlaku pada 24 Jun, mengakibatkan hampir 200 bangunan runtuh, kebanyakannya di negeri pesisir pantai La Guaira yang paling terjejas.
Sebelum ini, jumlah korban dilaporkan seramai 5,546 orang.
Pasukan penyelamat bersama ahli keluarga mangsa masih meneruskan operasi mencari mangsa di celah runtuhan, manakala hampir 17,000 orang dilaporkan cedera akibat bencana itu.
Media tempatan memetik Gabenor La Guaira, Jose Alejandro Teran sebagai berkata kira-kira 1,400 orang masih hilang selepas gempa tersebut.
Kerajaan Venezuela bagaimanapun belum mengumumkan jumlah rasmi mangsa yang masih hilang, namun unjuran pakar menganggarkan angka itu boleh mencecah 10,000 orang.
Selain 190 bangunan yang musnah sepenuhnya, pihak berkuasa mengklasifikasikan 6,433 struktur sebagai “berisiko tinggi”, manakala 9,866 lagi dikategorikan sebagai “kediaman terhad” berikutan risiko keselamatan kepada penduduk.
Hampir 24,000 penduduk di La Guaira dan Caracas kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara susulan gempa bumi itu.
Pada Jumaat lalu, anggota Parlimen Venezuela sebulat suara meluluskan undang-undang yang memudahkan urusan penyewaan hartanah bagi membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
Undang-undang itu perlu diperkenankan oleh pemimpin interim, Delcy Rodriguez sebelum ia berkuat kuasa. -AFP